Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Raffles Place bakal berwajah baru dengan ruang hijau, laluan berbasikal

Kawasan di sekitar Raffles Place bakal menjadi zon mesra sekitaran, yang juga lebih "mesra masyarakat", dengan sebuah taman baru dan laluan berbasikal dalam perancangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Feb 2018 05:46PM Dikemas Kini : 09 Feb 2018 10:36PM

SINGAPURA: Kawasan di sekitar Raffles Place bakal menjadi zon mesra sekitaran, yang juga lebih "mesra masyarakat", dengan sebuah taman baru dan laluan berbasikal dalam perancangan.

Ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di upacara pecah tanah bagi pembangunan semula Tempat Letak Kereta Golden Shoe hari ini (9 Feb).

"Jika tempat asal Golden Shoe diingati sebagai tempat untuk meletak kenderaan, saya berharap Golden Shoe yang baru akan dikenali sebagai tempat untuk masyarakat," kata Encik Wong. "Kita mesti menyuntik kesegaran pada landskap jalan kita dan mengubahnya menjadi zon mesra masyarakat yang penuh bertenaga."

Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, jalan raya di Market Street antara Tempat Letak Kereta Golden Shoe dengan Republic Plaza akan ditutup kepada trafik buat selama-lamanya dan diubah menjadi sebuah taman awam. Ruang berkenaan, yang luasnya sekitar 1,000 meter persegi, akan menyediakan laluan penghubung berbumbung antara Tempat Letak Kereta Golden Shoe dengan laluan pejalan kaki berbumbung yang sedia ada dari stesen MRT Raffles Place.

Laluan pejalan kaki di Market Street, Malacca Street dan Philip Street pula akan diluaskan bagi para pejalan kaki dan juga pengayuh basikal, lengkap dengan tumbuh-tumbuhan menghijau di tepi jalan.

Selain itu, laluan berbasikal juga akan dibina di kawasan tersebut, menghubungkannya dengan laluan berbasikal akan datang dan membentuk sebahagian rangkaian berbasikal di Kawasan Tengah.

Rancangan bagi Tempat Letak Kereta Golden Shoe yang baru turut diumumkan di majlis pelancaran tersebut. Ini termasuk sebuah ruang awam di tingkat bawah bangunan bersepadu itu. Ia boleh dimanfaatkan untuk acara-acara kemasyarakatan.

Pusat Makanan Market Street pula, yang buat masa ini beroperasi di sebuah tapak sementara di sebelah stesen Telok Ayer, akan ditempatkan di tingkat dua dan tiga bangunan baru itu nanti.

Bangunan baru itu juga akan menampilkan Oasis Hijau setinggi empat tingkat. Ia terdiri daripada sebuah "tempat permainan kanak-kanak" dan "landskap bertindih yang menempatkan sebuah restoran serta kebun bandar tertinggi di Singapura", menurut CapitaLand dalam satu kenyataan media.

Laluan berbasikal juga akan dibina di sekitar bangunan itu selain 165 tempat letak basikal dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan dengannya.

Rancangan untuk menyuntik kesegaran di Raffles Place itu dibangunkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Lembaga Taman Negara (NParks) dengan kerjasama CapitaLand untuk melaksanakannya seiring dengan pembangunan semula Tempat Letak Kereta Golden Shoe.

Bangunan bersepadu itu dijangka siap secara bertahap-tahap menjelang separuh pertama tahun 2021. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan