Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Raffles Institution muncul juara Bahas 4PM selepas tumpaskan Politeknik S'pura

Raffles Institution (RI) muncul sebagai juara Bahas 4PM hari ini (14 Ogos) mengalahkan Politeknik Singapura (SP) dalam pertandingan akhir.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Raffles Institution (RI) muncul sebagai juara Bahas 4PM hari ini (14 Ogos) mengalahkan Politeknik Singapura (SP) dalam pertandingan akhir.

Kemenangan itu juga yang pertama bagi RI sejak pertandingan tersebut dimulakan bagi kategori posmenengah 28 tahun lalu.

DIADAKAN SECARA ONLINE BUAT PERTAMA KALINYA

Meskipun diadakan secara online buat pertama kalinya, kehangatan Peringkat Akhir Pertandingan Bahas 4PM antara SP dan RI tahun ini tetap dirasakan.

Dengan mauduk 'Industri 4.0 Memperkasa Kemanusiaan', SP bertindak selaku pencadang.

Bagaimanapun hasil hujah-hujah lebih meyakinkan yang dibentangkan, RI akhirnya muncul sebagai juara bahas anjuran Persatuan Pemuda Pemudi Melayu ini, sekali gus membawa pulang Piala Hawazi Daipi.

Pembahas Raffles Institution, Eshvinjeet Kaur Jandey Gurujeet Singh berkata: "Kemenangan ini juga telah mengharumkan nama sekolah kerana setahu saya untuk jangka masa sangat lama, sekolah kita tak bertanding untuk pertandingan bahas.

"Jadi setelah sekian lama kami bertanding dan kami berjaya memenangi, ia merupakan suatu yang menggalakkan bagi kumpulan-kumpulan pelajar seterusnya untuk menyertai pertandingan ini."

Bagi peringkat akhir itu, pasukan RI dianggotai Eshvinjeet, Naufal Aiman Jasni dan Nyx Audrey Angelo Iskandar.

Nurul Huda Husein pula merupakan pembahas simpanan pasukan tersebut.

PEMBAHAS SP MUNCUL PEMBAHAS TERBAIK

SP bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong.

Pembahasnya, Nur Insyirah Zakariah, merangkul dua gelaran iaitu Pembahas Terbaik bagi peringkat akhir pertandingan ini dan juga Pembahas Terbaik Keseluruhan.

"Saya selalu berlatih, membaca skrip, menulis skrip, membuat kajian-kajian sendiri untuk meningkatkan lagi pemahaman saya dalam mauduk yang telah diberikan," kata Insyirah, penuntut tahun pertama dalam jurusan Media, Kesenian dan Reka Bentuk di SP.

Selain Insyirah, pasukan SP turut dianggotai Nur Humairah Sulaiman dan Wafa Aulia Abdul Aziz bagi peringkat akhir pertandingan.

Nur Amirul Husni pula bertindak sebagai pembahas simpanan.

Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam, yang juga merupakan bekas pembahas 4PM, menjadi tetamu terhormat majlis hari ini.

Beliau menarik perhatian betapa meskipun seni berbahas dalam Bahasa Melayu semakin berkurangan di Singapura, beliau berbesar hati dan bangga masyarakat Melayu masih ada kumpulan yang "mampu berfikir secara kritis" dan "memaparkan kemahiran persembahan yang cemerlang".

(Gambar-gambar: Petikan skrin video 4PM)

10 Pembahas Terbaik bagi Peringkat Saringan Pertandingan Bahas 4PM juga diumumkan hari ini.

Panel penilai bagi Peringkat Akhir Pertandingan Bahas 4PM diketuai Zamil Kanan ISEAS Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

BAHAS 4PM DISERTAI 8 KUMPULAN PEMBAHAS

Sebelum ini, untuk mara ke peringkat akhir RI mengenepikan cabaran dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di peringkat separuh akhir, dengan mauduk 'Media Sosial tidak patut menapis kandungan yang dimuat naik pengguna'.

Dalam pertarungan berasingan, SP selaku pihak penyanggah pula menumpaskan Maktab Rendah Tampines-Meridian dalam pusingan tersebut, dengan mauduk 'Kepelbagaian budaya di Singapura kurang dihargai', pada 31 Julai lalu.

Peringkat saringan pula dibentuk lapan pasukan. Setiap pasukan perlu bertanding dalam dua pertarungan, iaitu dengan dua pasukan lain sebelum dapat mara ke peringkat separuh akhir.

Pasukan-pasukan yang bertanding dalam Pertandingan Bahas 4PM tahun ini terdiri daripada Politeknik Ngee Ann, Raffles Institution, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Politeknik Singapura, Pasukan Swing (pasukan kedua SP), Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Maktab Rendah Tampines-Meridian. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan