Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Queenstown bandar perintis Daerah Kesihatan; sokong penduduk lalui pelbagai peringkat hidup

Bandar satelit pertama Singapura, Queenstown, tidak lama lagi akan menjadi Daerah Kesihatan pertama negara. Ia menyasarkan untuk menyokong kesejahteraan para penduduk di semua peringkat kehidupan mereka melalui kaedah seperti reka bentuk lebih baik dan program masyarakat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Oct 2021 03:07PM Dikemas Kini : 20 Oct 2021 08:54PM

SINGAPURA: Bandar satelit pertama Singapura, Queenstown, tidak lama lagi akan menjadi Daerah Kesihatan pertama negara. Ia menyasarkan untuk menyokong kesejahteraan para penduduk di semua peringkat kehidupan mereka melalui kaedah seperti reka bentuk lebih baik dan program masyarakat.

Matlamatnya adalah untuk merintis Queenstown sebagai sebuah "model masyarakat yang sihat dan aktif bagi semua kumpulan usia", kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee. Beliau yang mengumumkan inisiatif itu pada Rabu (20 Okt) menambah strategi yang berjaya mungkin juga akan diperluaskan ke lebih banyak bandar pada masa hadapan.

Menggariskan bidang tumpuan bagi projek perintis itu, beliau berkata satu aspek adalah untuk menggalak jagaan kesihatan pencegahan seperti pemeriksaan penyakit kronik dan vaksinasi.

Pada masa yang sama, kata beliau, menambah baik perancangan dan reka bentuk persekitaran HDB juga akan membantu penduduk membuat pilihan lebih sihat.

Seterusnya, bagi menggalak "penuaan yang bermakna", peluang akan disediakan untuk warga emas menyara kehidupan, menjadi relawan dan menyertai pembelajaran sepanjang hayat.

Membangunkan teknologi yang boleh digunakan dan dimampui juga akan menjadi aspek utama dalam membantu penduduk menjaga kesihatan mereka dengan lebih baik, tambah Encik Lee.

Perintis itu, disifatkan sebagai "kerjasama pertama seumpamanya", melibatkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pihak berkepentingan dari sektor-sektor awam, privet serta masyarakat.

MENGAPA QUEENSTOWN?

Queenstown, yang dibangunkan pada 1950-an, dipilih sebagai perintis kerana "demografiknya yang hampir mencerminkan kependudukan nasional yang diunjurkan Singapura menjelang tahun 2030", menurut HDB, NUHS dan NUS dalam satu kenyataan bersama.

“Bandar itu buat masa ini mempunyai penduduk tertua di Singapura dengan hampir setiap satu daripada empat rakyat Singapura berumur 65 tahun dan ke atas.

“Bersama-sama pelbagai rancangan pembangunan dan pembaharuan akan datang bagi Queenstown, terdapat peluang untuk merintiskan intervensi bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk, mempromosikan sikap mementingkan kesihatan serta menggalak hubungan sosial," jelas kenyataan tersebut.

Peta menunjukkan Daerah Kesihatan Queenstown. (Gambar: HDB, NUS, NUHS)

Daerah kesihatan di Queenstown meliputi Tanglin Road dan Alexandra Road ke sebelah timur serta Clementi Road ke sebelah barat. Kawasan tersebut meliputi beberapa institusi kesihatan seperti Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Alexandra dan Poliklinik Queenstown.

KESIHATAN PENCEGAHAN, PENUAAN BERMAKNA

Untuk meningkatkan akses kepada khidmat jagaan pencegahan, pemeriksaan kesihatan di kawasan kejiranan akan disediakan kepada penduduk sekiranya wajar manakala ceramah kesihatan akan dijalankan dalam masyarakat.

Penduduk digalak untuk memuat turun aplikasi My Health Map oleh NUHS yang mencadangkan pemeriksaan kesihatan mengikut usia.

Penyelaras kesihatan, yang bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Persatuan Perkhidmatan Lion Befrienders, Agensi Penjagaan Bersepadu dan pertubuhan akar umbi, juga akan membantu penduduk untuk menggunakan sistem jagaan kesihatan.

Bagi penuaan bermakna, penduduk akan pertama sekali dipelawa untuk "berkongsi pandangan tentang apa dan bagaimana mereka membayangkan sebagai satu pendampingan bermakna" agar program-program boleh dibangunkan, menurut kenyataan tersebut.

Kursus-kursus juga akan disediakan kepada penduduk mempelajari bagaimana untuk menjalani kehidupan bermakna, bermula dengan kursus "Designing for a 100-Year Life" oleh NUS yang dijadualkan bermula sebelum hujung 2021.

PERANCANGAN DAN REKA BENTUK

Lebih banyak perancangan dan reka bentuk bersepadu Queenstown akan dimaklumkan melalui bukti saintifik, menurut kenyataan itu.

Untuk meningkatkan kesejahteraan jasmani, HDB akan "menitikberatkan huraian yang boleh menggalak penduduk untuk menjalani gaya hidup aktif".

Taman atas bumbung tempat letak kereta BTO Queen's Arc, yang baru dilancarkan. (Gambar: HDB)

Satu contoh adalah Queen's Arc, sebuah projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dilancarkan baru-baru ini di Queenstown, yang memaparkan laluan berlari-lari anak di taman atas bumbung tempat letak kereta. Selain itu, terdapat juga laluan kecergasan dan laluan warisan di kawasan tersebut. Ia bahkan terletak dekat dengan kawasan hijau serta institusi jagaan kesihatan.

Kawasan kejiranan sedia ada juga boleh dipertingkatkan lagi melalui Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), yang mungkin melibatkan sudut-sudut membina kecergasan.

Bagi kesejahteraan sosial dan mental pula, ruang-ruang akan direka untuk mempromosikan interaksi sambil mewujudkan juga tempat-tempat nyaman, tambah kenyataan itu.

Bagi teknologi, pihak-pihak itu menyatakan: "Kami akan bekerjasama dengan industri untuk menguji cuba dan mengerahkan teknologi relevan yang membolehkan orang ramai untuk kekal berdikari, membantu dalam pencegahan penyakit serta meningkatkan penyediaan khidmat jagaan kesihatan.

Daerah Kesihatan akan diselia oleh Menteri Negara Pembangunan Negara Tan Kiat How, Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mazam serta Setiausaha Parlien Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Eric Chua.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan