Images

Pusat vaksinasi masyarakat di setiap estet jelang hujung Mac, kata Chan Chun Sing

SINGAPURA: Setiap bandar di negara ini akan mempunyai sebuah pusat vaksinasi masyarakat menjelang akhir bulan Mac akan datang.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing mengumumkan demikian pada Selasa (26 Jan) semasa melawat Kelab Masyarakat Tanjong Pagar, salah satu pusat vaksinasi COVID-19.

Suntikan di pusat itu akan bermula pada Rabu untuk para penduduk warga emas berusia 70 tahun ke atas.

Antara kemudahan yang disediakan di pusat-pusat vaksinasi masyarakat bagi memenuhi keperluan warga emas termasuklah kaunter-kaunter pendaftaran, laluan pantas bagi mereka yang menggunakan kerusi roda serta stesen vaksinasi yang lebih besar.

Di Kelab Masyarakat Tanjong Pagar, sekitar 300 warga emas berusia 70 tahun ke atas dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka pada Rabu.

Kira-kira 10,000 warga emas yang layak di Tanjong Pagar dan Ang Mo Kio sudah mula menerima surat-surat mengundang mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Menteri Chan menjangkakan kadar mereka yang sedia mendapatkan suntikan vaksin itu akan meningkat.

"Sedang proses vaksinasi diteruskan, lebih ramai orang akan mendapatkan suntikannya apabila lebih ramai orang tahu tentang vaksinasi, berapa mudahnya mendapatkan suntikan vaksin, kemungkinan kesan sampingan dan orang ramai akan menjadi lebih yakin dengan prosesnya," kata beliau.

"Saya berpendapat jumlah orang yang akan mendapatkan suntikan vaksin akan meningkat secara bertahap-tahap. Ia adalah satu proses di mana kadar penerimaan bagi kumpulan pertama mungkin berbeza daripada kumpulan kedua. Jadi, kita harus sentiasa memantaunya dan membuat penyesuaian mengikut keupayaan setiap pusat vaksinasi."

Untuk mendapatkan suntikan vaksin, golongan warga emas boleh membuat janji temu secara online atau di kelab masyarakat secara fizikal.

Para sukarelawan dari Persatuan Rakyat (PA) juga akan melakukan lawatan rumah ke rumah untuk membantu sesiapa yang memerlukan bantuan.

Sekitar 600 sukarelawan sudah dilatih PA untuk membantu warga emas di kawasan Ang Mo Kio dan Toa Payoh.
 

- CNA/HK/tq

Top