Images
  • brochure

Pusat rujukan pelbagai khazanah Pendeta Ariff Ahmad siap tahun depan di NIE

SINGAPURA: Sebuah pusat sumber kajian dan rujukan yang menempatkan pelbagai khazanah mengenai Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad, akan siap tahun depan dan tempatnya sudahpun dikenal pasti.

Pusat tersebut akan bertempat di perpustakaan Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Demikian dedah Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, yang merupakan anggota jawatankuasa Dana Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad atau ringkasannya Dana MAS.

Dipanggil Pusat Sumber MAS@NIE Libris, ia akan akan diisi dengan pelbagai artifak bersejarah milik Allahyarham Ariff Ahmad, yang merupakan tokoh bahasa dan budaya terkemuka Singapura dan rantau ini. Ia akan juga meliputi manuskrip, dokumen, buku-buku, foto dan barangan peribadi berharga milik Allahyarham.

MEMUPUK MINAT SEJARAH MELAYU MENERUSI PUSAT SUMBER DAN BUKU

Mendedahkan lebih lanjut mengenai peranan pusat itu, Prof Madya Hadijah berkata ia akan juga menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan dan bidang yang berkaitan dengan pengajian dan tamadun Melayu yang boleh dimaanfaatkan warga Singapura mahupun luar negara.


"Jadi kami harap pusat sumber ini akan menjadi sesuatu jambatan utama yang menghubungkan masyarakat atau individu berminat dengan sejarah dan juga akan membantu mereka untuk membina sejarah baru, tamadan baru melalui pusat tersebut.

"Menurut perancangan kalau tidak ada aral melintang, pusat ini akan siap tahun depan," jelas Prof Madya Hadijah yang juga memegang jawatan Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia di NIE dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu.

Selain itu, juga akan diterbitkan tahun depan ialah sebuah buku mengenai peri pentingnya penggunaan Bahasa Melayu baku suntingan Dr Roszalina Rawi, dan sebuah buku lain yang mengisahkan tentang riwayat Allahyarham yang bertajuk 'Cikgu Ariff Yang Kukenal' tulisan mantan wartawan veteran, Mohd Raman Daud.

Penulisan mengenai riwayat hidup Pendeta Ariff Ahmad itu dibuat dibawah naungan 'Siri Penerbitan MAS'.

DERMA ORANG RAMAI DIPERLUKAN, JADIKAN IMPIAN SATU KENYATAAN

Untuk merealisasikan semua projek itu, Dana MAS masih memerlukan sekitar $700,000 untuk mencapai sasaran $2.5 juta yang diperlukannya.

Sebagai sebahagian usaha mengisi dana tersebut, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) selaku sekretariat Dana MAS akan menganjurkan kempen kutipan Jumaat esok (14 Jun), di masjid-masjid seluruh Singapura.

"Kami amat bersyukur kalau untuk pungutan tahun ini di masjid, kami dapat mencapai dalam $150,000, itu sudah satu yang kami syukuri.

"Dan kami ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada dermawan dan juga sesiapa saja yang menyokong projek Dana MAS ini," kata Prof Madya Hadijah, yang juga sedang dalam proses menerbitkan sebuah buku sempena merenung 200 Tahun Singapura.

Sejak dibentuk 10 tahun lalu, Dana MAS berjaya mengeluarkan tiga biasiswa untuk dua calon doktor falsafah, seorang calon sarjana dan satu geran kajian bagi sekumpulan pengkaji dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Semua itu adalah sebahagian usaha memartabatkan bahasa dan budaya Melayu. 

- BERITAmediacorp/na

Top