Pusat prasekolah rintis langkah satukan ruang bagi bayi-bayi
Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) hari ini (7 Mar) memperkenalkan Perancangan Perubahan Industri (ITM) bagi sektor pendidikan awal kanak-kanak.
SINGAPURA: Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) hari ini (7 Mar) memperkenalkan Perancangan Perubahan Industri (ITM) bagi sektor pendidikan awal kanak-kanak.
Ia sebahagian daripada ITM Pendidikan di samping sektor Latihan dan Pendidikan Orang Dewasa yang dilancarkan pada Februari lalu.
Di bawah ITM Pendidikan Awal Kanak-kanak, 12 pengendali utama prasekolah akan menyatukan ruang bagi bayi yang berumur bawah satu tahun dengan ruang bagi bayi yang berusia antara satu hingga tiga tahun. Lazimnya, ruang bagi dua kelompok ini diasingkan.
Menurut ECDA, ibu bapa dan guru-guru sejauh ini bersetuju ruang yang disatukan akan memudahkan bayi yang lebih kecil untuk beralih ke kelas lanjutan kelak.
Persatuan Khidmat Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Latihan dan pertubuhan lain juga akan mula menggunakan sistem pusat bagi membantu para pengendali untuk mengurus kos dengan lebih baik. Ini termasuk khidmat katering dan bas. Permintaan bagi barang-barang keperluan lain seperti alat tulis dan bahan-bahan pembelajaran lain juga akan disatukan.
Selain itu, ECDA sedang memikirkan cara-cara membuat prospek pekerjaan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak lebih menarik. Dalam tempoh lima tahun akan datang, pengendali-pengendali utama akan menawarkan sekitar 1,000 jawatan karyawan kanan, iaitu seganda daripada jumlah yang ditawarkan buat masa ini.
Gaji bagi para guru pendidikan awal kanak-kanak juga dijangka naik di mana mereka akan memikul tanggungjawab lebih besar, mempunyai kemahiran lebih tinggi dan peranan lebih kompleks. Sejak tiga tahun lalu, gaji median dalam sektor itu naik 15 peratus, berbanding 8 peratus dalam pasaran umum pada tempoh yang sama. ECDA menjangkakan trend ini akan berterusan dalam sektor prasekolah yang terus berkembang dalam tahun-tahun mendatang.
LEBIH BANYAK PUSAT TAWARKAN BAHASA MELAYU, TAMIL
Pengendali utama prasekolah juga akan menawarkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Tamil di lebih banyak pusat iaitu dari 200 kepada 350 pusat menjelang 2022.
Buat masa ini, kesemua 550 pusat pengendali utama menawarkan subjek bahasa Cina. Tadika MOE pula menawarkan ketiga-tiga mata pelajaran bahasa ibunda di pusat-pusatnya. Keseluruhannya akan ada 50 tadika MOE menjelang 2023.
"Bahasa ibunda amatlah penting, dengan memulakannya awal, ia akan dapat membantu," kata Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pendidikan Dr Faishal Ibrahim.
ECDA akan berganding bahu dengan para pengendali utama bagi memastikan permintaan dan keperluan rakyat dipenuhi.
Para pengendali utama juga giat menjalankan usaha-usaha untuk menggajikan guru-guru bahasa Melayu dan Tamil.
"Pemerintah sudah banyak memberi sokongan bagi menggalak lebih ramai rakyat tempatan untuk menjadi guru prasekolah yang mengajar bahasa ibunda. Sejak 2016, para pelajar politeknik diberi peluang untuk menceburi bidang ini," kata beliau.
Buat masa ini, belum lagi ada program khas bagi pelajar politeknik untuk menceburi pendidikan dalam Bahasa Melayu. Namun, ECDA akan menjalankan usaha-usaha bagi memberi latihan kepada calon pendidik prasekolah untuk mengajar Bahasa Melayu seperti semasa tempoh praktikum mereka.
"Usaha-usaha ini meningkatkan jumlah guru prasekolah yang mengajar bahasa ibunda iaitu sebanyak 35 peratus kepada 3,300 pada 2017 berbanding 2015," kata Dr Faishal.
TENTANG TEMPAT KOSONG, YURAN
Dr Faishal turut membentangkan perkembangan tentang inisiatif-inisiatif ECDA termasuk tentang kerjasamanya dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk membangunkan lebih banyak pusat prasekolah sebagai sebahagian daripada projek Bina-Ikut-Tempahan (BTO), supaya mereka boleh dibuka lebih awal.
"Bagi memenuhi keperluan prasekolah bagi para penduduk, pusat-pusat baru ini akan menawarkan 200 tempat kosong, seganda daripada saiz pusat biasa hari ini," katanya.
"ECDA juga bekerjasama dengan URA bagi memastikan pemaju-pemaju hartanah memperuntukkan ruang bagi pusat-pusat prasekolah di tapak-tapak rumah privet yang dilancarkan melalui Program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS)."
Beliau menambah: "Saya ingin memberi jaminan bahawa kami akan terus memantau perubahan dalam yuran prasekolah. Kami juga akan pastikan rakyat mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan menjalankan usaha-usaha termasuk skim-skim pemerintah dan subsidi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.