Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Penjaja Taman East Coast rintis projek jana elektrik, baja guna sisa makanan

Sebuah projek perintis yang menukar sisa makanan menjadi kuasa elektrik dan baja dilancarkan di pusat penjaja East Coast Lagoon Food Village di Taman East Coast.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Penjaja Taman East Coast rintis projek jana elektrik, baja guna sisa makanan

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 17 Nov 2021 04:12PM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 04:16PM

SINGAPURA: Sebuah projek perintis yang menukar sisa makanan menjadi kuasa elektrik dan baja dilancarkan di pusat penjaja East Coast Lagoon Food Village di Taman East Coast.

Ia akan menukar sisa makanan daripada gerai-gerai makanan dan para pengunjung pusat penjaja itu menjadi biogas dan baja biologi atau biobaja.

Biogas itu kemudian akan diproses untuk menjana kuasa elektrik yang berupaya membekalkan tenaga kepada sistem pencernaan anaerobik yang membolehkan penukaran sisa makanan serta dua stesen pengecas telefon bimbit bagi kegunaan awam.

Sebarang lebihan bekalan elektrik akan digunakan untuk menghidupkan 31 kipas yang dipasang di tembok pusat penjaja tersebut.

Demkian menurut Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (17 Nov).

Biobaja itu akan digunakan bagi kerja-kerja landskap di sekitar Taman East Coast. NParks yang mengendalikan taman seluas 185 hektar itu, sedang mengenal pasti tapak-tapak di sana untuk menguji keberkesanan bahan penghadaman - atau sisa cecair daripada sisa makanan yang menjalani proses biodegradasi sisa makanan - sebagai baja.

NUS dan NParks juga sedang mengkaji keberkesanannya dalam menanam tanaman hiasan.

Dihasilkan oleh sekumpulan pengkaji dari NUS, sistem pencernaan itu mengambil sisa makanan yang boleh dicerna dan dibahagikan mengikut sumber, seperti sisa kulit buah-buahan dan sayur-sayuran, sisa penyediaan makanan di gerai-gerai dan sisa makanan yang ditinggalkan di meja pusat penjaja.

Mikrob, sejenis mikro-organisma akan memakan campuran sisa makanan itu lalu menghasilkan biogas yang kaya dengan gas metana dan biobaja yang penuh dengan zat.

NEA yang mengendalikan pusat penjaja itu, dan NParks memeterai satu memorandum persefahaman untuk menyelia projek itu.

Sistem itu mula beroperasi sekitar seminggu setengah yang lalu dan buat masa tiada tempoh akhir ditetapkan bagi skim perintis itu.

Profesor Madya Tong Yen Wah dari jabatan kejuruteraan kimia dan biomolekular NUS memimpin pasukan dari NUS yang memantau operasi dan penyenggaraan sistem tersebut.

Menurutnya: "Teknologi kami adalah unik kerana ia mudah untuk dikendalikan dan kini boleh menghasilkan haba, baja dan elektrik bagi kawasan-kawasan di atau sekitar pusat penjaja."

East Coast Lagoon Food Village dipilih untuk uji cuba itu kerana terdapat ruang bersebelahan pusat penjaja itu yang boleh menampung sistem tersebut. Biobaja itu juga boleh digunakan di Taman East Coast, menurut NParks, NEA dan NUS dalam kenyataannya.

Sekitar 60 gerai di East Coast Lagoon Food Village menjana sekitar 150 kilogram sisa makanan yang boleh dicerna setiap hari. Rawatan sisa makanan di tempat itu akan mengurangkan keperluan bagi menghantar sisa makanan untuk dibakar.

Bagi membantu pengasingan sisa makanan, pihak agensi akan menyediakan tempat buang sampah tertutup kepada para pegerai dan pekerja pembersihan di sana.

Sisa makanan itu kemudian akan diasingkan mengikut lima tong sampah bijak di sekitar pusat penjaja berkenaan, yang boleh mencatatkan dan menyimpan data tentang jumlah sisa yang diasingkan daripada setiap pengguna.

Poster dan pelekat akan ditampal bagi mengingatkan para pengunjung supaya memulangkan dulang dan pinggan mangkuk yang digunakan serta menggalak para pegerai dan pekerja pembersihan supaya mengasingkan sisa-sisa makanan dari bentuk sisa yang lain secara proaktif.

Tahun lalu, sisa makanan membentuk sekitar 11 peratus jumlah sisa secara keseluruhan yang dijana di Singapura. Namun hanya 19 peratus sisa makanan yang dikitar semula dengan bakinya dibuang di loji pelupusan sampah. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan