Images

Pusat Penjaja & Pasar 448 Clementi Ave 3, Pasar Whampoa Drive ditutup hingga 5 Ogos setelah 34 kes COVID-19 dikesan

SINGAPURA: Dua lagi pasar akan ditutup selama dua minggu setelah 34 orang disahkan positif COVID-19.

Seramai 22 daripada mereka yang terjangkit pernah mengunjungi atau bekerja di Pasar dan Pusat Penjaja 448 Clementi Ave 3 manakala lagi 12 dikesan di Pasar Whampoa Drive.

Dalam kemas kini Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai keadaan koronavirus pada malam semalam (21 Jul), kementerian tersebut turut mendedahkan bahawa kedua-dua tempat itu akan ditutup dari 22 Julai hingga 5 Ogos.

Ia bagi memutuskan rantaian jangkitan dan memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh di premis-premis tersebut.

Ujian percuma COVID-19 ditawarkan kepada orang ramai yang mengunjungi kedua-dua pasar tersebut antara 7 Julai dengan 21 Julai "untuk mengesan sebarang kes dalam masyarakat", tambah MOH.

Perincian operasi pengujian itu boleh didapatkan di sini.

MOH juga menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengedarkan kit-kit ujian pantas antigen (ART) kepada orang ramai yang mengunjungi sebilangan pasar dan pusat penjaja dalam tempoh 14 hari lalu.

Pengambilan kit ujian swab kendiri itu akan dijalankan pada Khamis dan Jumaat di pusat Majlis Jawatankuasa Penduduk berdekatan Pasar Whampoa Drive dan Pasar 726 West Coast.

Dalam pada itu, MOH menyatakan terdapat dua kelompok baru COVID-19: Kasino Marina Bay Sands dan satu lagi yang terkait dengan seorang individu, namun perincian mengenai individu tersebut tidak didedahkan.

Secara berasingan, siasatan mendapati terdapat kemungkinan penularab berterusan di satu lagi kelab malam: Sakura Entertainment yang terletak di 517 Geylang Road.

Awal sebelum itu pada Rabu, kementerian tersebut melaporkan 179 kes tempatan, dengan 130 daripadanya terkait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lagi lapan pula dikaitkan dengan kelompok KTV.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura adalah 63,621.

PESAKIT DI HOSPITAL

Setakat Rabu, seramai 379 pesakit COVID-19 masih dirawat di hospital.

Daripada jumlah tersebut, tujuh memerlukan bantuan oksigen dan seorang lagi dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

"Tiada seorang pun daripada lapan kes ini yang sudah selesai mendapatkan kedua-dua dos vaksin. Dua warga emas berusia 60 tahun ke atas, dengan seorang daripada mereka belum divaksin sama sekali, manakala seorang lagi yang belum lengkap divaksin, sakit teruk,” menurut MOH.

Ia menambah: "Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa vaksinasi berupaya membantu mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti koronavirus.

“Sepanjang 28 hari lalu, lapan kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke unit jagaan rapi atau meninggal dunia. Enam belum divaksin langsung, dua belum selesai divaksin dan tiada daripada mereka yang sudah mendapatkan vaksin sepenuhnya."

VAKSINASI

Sekitar 6.84 juta dos vaksin COVID-19 sudah diagihkan kepada lebih 4.16 juta orang setakat Selasa, menurut MOH.

Seramai 2.79 juta orang sudah menyelesaikan rejimen vaksinasi penuh, yang terdiri daripada 120,152 bekas pesakit yang menerima sekurang-kurangnya satu dos dan lebih 2.67 juta yang menerima dos kedua mereka.

Dalam pada itu, 70,504 dos vaksin Sinovac diagihkan setakat Selasa, merangkumi 63,733 individu. 

- TODAY/TQ/tq

Top