Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat baru bantu bekas pesalah dadah, keluarga mereka dirasmikan di Taman Jurong

Lebih 1,500 bekas pesalah dadah dan keluarga mereka sudah meraih manfaat daripada program dan khidmat yang ditawarkan di Pusat Step-Up Persatuan Anti Narkotik Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 1,500 bekas pesalah dadah dan keluarga mereka sudah meraih manfaat daripada program-program dan khidmat yang ditawarkan di Pusat Step-Up Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA) sejak ia dibuka pada 2016.

Mereka adalah para klien yang datang sendiri ke SANA bagi mendapatkan bantuan secara langsung. Bukan dirujuk oleh mana-mana pertubuhan lain.

Lantaran perkembangan memberangsangkan daripada para kliennya itu, SANA hari ini (14 Jul) melancarkan pusat Step-Up kedua di kawasan barat Singapura, iaitu di Taman Jurong. Antara khidmat yang ditawarkan adalah sesi-sesi kaunseling, bantuan kewangan, bantuan pekerjaan dan program pembuangan tatu. Pusat pertamanya, terletak di Sengkang.

Tambahan lagi, tinjauan SANA ke atas profil klien-kliennya juga mendapati sebahagian besar daripada mereka menetap di kawasan barat dan utara Singapura.

Pusat Step-Up SANA di Taman Jurong. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin yang merasmikan pembukaan Pusat Step-Up@Taman Jurong itu hari ini (14 Jul), melahirkan rasa gembira dengan pembukaan cawangan di Jurong itu.

“Disebabkan sambutan positif bagi pusat Step-Up@Sengkang, saya meminta SANA menimbangkan untuk menubuhkan lebih banyak pusat sedemikian bagi mendekati lebih ramai orang (bekas penagih) yang sedang pulih, serta keluarga mereka, dalam masyarakat.

“(Ini) khususnya bagi mereka yang tidak tinggal dalam kawasan Sengkang,” kongsi Encik Amrin dalam ucapannya.

HAMPIR 100 KLIEN SEJAK DIBUKA JANUARI 2019

Pusat Step-Up@Taman Jurong itu sudahpun memulakan operasinya sejak bulan Januari tahun ini dan sehingga bulan Jun lalu, hampir 100 klien datang sendiri mendapatkan bantuan dan khidmat yang ditawarkan.

Pusat Step-Up SANA di Taman Jurong. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Daripada jumlah itu, 64 peratus atau 57 daripadanya adalah klien lelaki manakala lagi 32 adalah wanita. Seramai 42 daripada mereka adalah bekas pesalah dadah dan lagi 11 merupakan anggota keluarga mereka yang turut mendapatkan khidmat SANA.

Pusat-pusat Step-Up SANA menyediakan sekitaran yang selesa dan bermakna demi membantu para bekas pesalah dadah serta anggota keluarga mereka untuk mengambil langkah pertama kembali ke pangkuan masyarakat.

STEP-UP@TAMAN JURONG TAWAR KHIDMAT BERSEPADU

Namun, berbeza sedikit daripada pusat di Sengkang, Pusat Step-Up@Taman Jurong menawarkan khidmat lebih bersepadu memandangkan pejabatnya terletak di lokasi yang sama dengan tiga lagi pertubuhan bantuan kemasyarakatan yang lain.

Pusat Step-Up SANA di Taman Jurong. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Ini termasuk Pejabat Khidmat Sosial (SSO), Pusat Khidmat Keluarga Fei Yue dan juga Pejabat Generasi Warga Emas (SGO).

“Dalam kes di mana keluarga tertentu berdepan masalah lebih sulit, ini membolehkan kami bekerjasama lebih dengan dengan Pusat Khidmat Keluarga Fei Yue misalnya dan merujuk kes kepada mereka.

“Jadi ini satu model yang amat baik sekali, di mana pelbagai agensi bersatu dan bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Akar Umbi Taman Jurong,” kata Pengarah Eksekutif SANA, Encik Abdul Karim.

RINTIS BENGKEL BUAT REMAJA; AJAR CARA BUAT KEPUTUSAN BIJAK

Dengan adanya pusat di Taman Jurong itu, SANA juga sedang merintis bengkel khas buat golongan remaja berisiko di kawasan barat Singapura. Bengkel tersebut dijalankan di beberapa sekolah buat masa ini. Menerusi bengkel tiga hari itu, para remaja diberi panduan tentang cara-cara membuat keputusan dengan bijak bagi menangani sesuatu keadaan.

Satu lagi trend yang dilihat menarik tentang para klien yang datang ke pusat di Taman Jurong adalah majoriti daripada mereka datang ke SANA setelah diajak oleh anggota keluarga (19 orang) atau rakan-rakan sendiri (42 orang).

Ini merangsang SANA untuk menimbangkan lebih banyak program yang berbentuk kekeluargaan bagi mengukuhkan jalinan tersebut sebagai salah satu cara untuk para bekas pesalah berintegrasi semula dengan masyarakat.

MAHU GEMBLENG TENAGA KLIEN JADI SUKARELAWAN

Pusat Step-Up@ Taman Jurong dibuka dari pukul 4.00 petang hingga 9.00 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

SANA juga berharap untuk menggembleng tenaga para klien yang sudah meraih manfaat daripada program dan khidmat yang ditawarkan.

“Apa yang kami ingin lakukan adalah untuk menggembleng tenaga keluarga-keluarga yang sudahpun meraih manfaat daripada program kami, sebagai para sukarelawan kami. Ini juga untuk menggalak keluarga-keluarga lain, memberi motivasi kepada mereka supaya mengubah kehidupan mereka,” tambah Encik Abdul Karim.

Beliau menambah, para klien yang menjadi sukarelawan besar kemungkinan dapat lebih mempengaruhi rakan-rakan mereka ke arah kebaikan.

Berkongsi misi SANA seterusnya, Encik Abdul Karim juga menyasarkan untuk menubuhkan sebuah lagi pusat Step-Up - iaitu yang ketiga.

“Jika model sekarang ini berjaya, pada hujung tahun ini kami akan menimbangkan untuk membuka sebuah lagi pusat di kawasan Utara,” ujar Encik Abdul Karim. Yang pasti, model bantuan bersepadu itu dipuji Encik Amrin sebagai “memang satu model baik pusat sehenti sokongan sosial, pemulihan dan integrasi semula kepada masyarakat”, yang berada di tengah-tengah masyarakat.

Encik Amrin Amin merasmikan pembukaan Pusat Step-Up@Taman Jurong pada 14 Jul. (Gambar: BERITAmediacorp) 

“SANA sentiasa menjadi rakan penting MHA dalam usaha memerangi dadah dan integrasi semula (bekas penagih dadah) yang dalam proses pemulihan,” kata Encik Amrin.

“Saya yakin bahawa SANA akan terus membuat perubahan kepada kehidupan para klien dan keluarga mereka dan membolehkan mereka menganjak ke arah gaya hidup positif bebas dadah." 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan