Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Bahasa Melayu S'pura giat anjur kursus rangsang pembangunan kekaryawanan guru

 Selaras dengan langkah Kementerian Pendidikan (MOE) melakar SkillsFuture untuk Pendidik, Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) mengorak langkah proaktif menyediakan kursus berkaitan dengan bidang-bidang tumpuan yang ditetapkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selaras dengan langkah Kementerian Pendidikan (MOE) melakar SkillsFuture untuk Pendidik, Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) mengorak langkah proaktif menyediakan kursus berkaitan dengan bidang-bidang tumpuan yang ditetapkan.

Malah, guru-guru pakar di MLCS sedang menyediakan bahan-bahan baru dan akan menjalankan kursus Pengajaran Pembezaan dan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri bermula bulan depan.

Berucap di Seminar Bahasa Melayu ke-10 bertajuk 'Memanfaatkan Teknologi, Meningkatkan Pembelajaran' anjuran MLCS, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim menekankan peri pentingnya para guru terus meneroka penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Infokom (ICT).

Ini katanya, bukan sahaja menjadikan pembelajaran dalam bilik darjah lebih interaktif, tetapi juga berupaya memastikan para pelajar dapat menguasai subjek-subjek sekolah dengan lebih cekap.

GURU PAMER SEMANGAT TINGKAT KEMAHIRAN

Dr Faishal turut memuji para guru yang terus menunjukkan iltizam kuat untuk mempertingkatkan keupayaan mereka.

Misalnya, bagi kursus penggunaan Ruang Belajar Pelajar (SLS) sahaja, Dr Faishal mendedahkan, MLCS sudah melatih seramai 425 guru Bahasa Melayu. Ini dilakukan dalam tempoh hanya beberapa bulan sejak lewat tahun lalu.

"Usaha ini penting bagi meningkatkan keupayaan guru Bahasa Melayu setara dengan guru-guru subjek lain dan untuk mempertingkatkan kesediaan guru dalam membina dan memperkaya pengalaman pembelajaran yang berbeza," kata Dr Faishal.

Mengulas lebih lanjut, Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura, Encik Mohamed Noh Daipi berkata terdapat lebih 1,000 guru menjalani kursus di MLCS setiap tahun.

Bagi pihak MLCS pula, bidang dan skop bagi menyokong pembangunan profesional pula cukup luas.

"MLCS menganjurkan sesi pembelajaran melalui lawatan ke negara-negara Asia dan kami juga menghantar para guru untuk menyampaikan kertas kajian mereka di persidangan-persidangan serantau," tambah Encik Noh Daipi.

GURU KONGSI CABARAN GUNA WADAH SLS

Di ceramah yang sama, para guru juga diberi peluang untuk berkongsi hasil kertas kajian mereka.

Menariknya, penggunaan SLS menjadi antara topik utama yang dibincangkan. SLS, yang diperkenalkan pada 2018, dijangka akan terus digunakan secara meluas apatah lagi semua pelajar menengah diwajibkan menggunakan Alat Pembelajaran Peribadi (PLD) menjelang 2028.

Bagi Cik Fauziah Muhd Fadzillah dari Sekolah Rendah Fengshan, beliau meneroka teknik soal jawab melalui SLS bagi pengajaran membaca.

Umumnya, beliau mendapati, murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif dan berinteraksi dengan rakan-rakan lain.

Teknik menjawab soalan-soalan kefahaman juga dapat dikuasai pelajar dengan lebih berkesan kerana dapat mengenal pasti idea utama teks.

"Murid-murid dapat berinteraksi bersama rakan-rakan dan berkolaborasi bersama-sama. Jadi itu juga memupuk sifat-sifat bekerjasama dan juga nilai-nilai positif dalam diri mereka," kata Cik Fauziah.

Cik Halimatussa'diah dari Sekolah Rendah Junyuan pula berkongsi pengalaman meningkatkan kemahiran menulis karangan berdasarkan gambar bersiri.

Bagaimanapun, seperti Cik Fauziah, beliau mendapati ada beberapa cabaran yang menghambat keberkesanan wadah seperti SLS.

"Contohnya di sekolah, kami menghadapi masalah di mana murid-murid sendiri, lupa kata laluan. Ada juga murid yang tidak mempunyai akses ke SLS ketika di rumah," kata Cik Halimatussa'diah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan