Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Purata pendapatan keluarga Melayu masih jauh lebih rendah berbanding kaum lain, purata nasional

Purata pendapatan isi rumah keluarga-keluarga Melayu ialah S$6,851 pada tahun 2020. Ini berbanding S$5,109 pada tahun 2010 - suatu peningkatan lebih S$1,700.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Purata pendapatan isi rumah keluarga-keluarga Melayu ialah S$6,851 pada tahun 2020. Ini berbanding S$5,109 pada tahun 2010 - suatu peningkatan lebih S$1,700.

Ini juga mencerminkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3 peratus, secara nominal.

Bagaimanapun purata pendapatan isi rumah Melayu daripada hasil pekerjaan itu masih jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum Cina (S$10,812) dan India (S$11,688) bagi tahun 2020. Purata nasional ialah S$10,608.

Pertumbuhan purata pendapatan isi rumah Melayu secara nilai sebenar (real terms) pula ialah 1.6% setiap tahun, berbanding kaum Cina (1.8%), India (2.2%) dan purata nasional (1.7%).

Demikian menurut data terkini Banci Penduduk 2020 yang didedahkan Jabatan Perangkaan (DOS) hari ini (18 Jun).

Menurut DOS lagi, purata pendapatan isi rumah Melayu bagi setiap anggota keluarga pada 2020 ialah S$2,003. Ini pertambahan sekitar S$700 berbanding perangkaan S$1,304 semasa Banci Penduduk 2010.

Angka tahun lalu itu juga mencerminkan pertumbuhan tahunan nilai sebenar 3.0 peratus - lebih tinggi berbanding bagi masyarakat Cina (2.5%) dan India (2.2%).

Bagaimanapun dari segi nilai nominal, angka S$2,003 itu masih jauh di belakang kaum Cina (S$3,615) dan India (S$3,584).

PENDAPATAN ISI RUMAH LEBIH TINGGI

Secara keseluruhannya, pendapatan seisi rumah penduduk Singapura kini lebih tinggi berbanding 10 tahun lalu, menurut DOS.

Laporannya itu menunjukkan semua kumpulan etnik utama menyaksikan peningkatan purata dan median pendapatan bulanan isi rumah daripada pekerjaan antara 2010 dengan 2020.

Pendapatan median isi rumah daripada hasil pekerjaan dari segi nilai sebenar naik 1.9 peratus setahun, daripada S$5,600 pada tahun 2010 kepada S$7,744 pada tahun lalu.

Dari segi kumpulan pendapatan, isi rumah penduduk dalam kurungan pendapatan yang lebih tinggi naik hampir 1.5 kali ganda antara 2010 dan 2020.

Peratusan isi rumah yang dengan pendapatan S$9,000 atau lebih meningkat daripada 29.7 peratus pada tahun 2010 kepada 44.2 peratus pada tahun 2020.

Kenaikan lebih ketara dapat dilihat dalam kumpulan isi rumah yang mempunyai pendapatan S$20,000 atau lebih, iaitu naik lebih seganda daripada 6.6 peratus kepada 13.9 peratus.

Mengambil kira saiz isi rumah, pendapatan median bulanan keluarga yang bekerja dari segi nilai sebenar mencatatkan peningkatan pada kadar 2.8 peratus setahun daripada S$1,638 pada tahun 2010 kepada $ 2,463 pada tahun lalu.

Ketiga-tiga kumpulan etnik mencatat peningkatan dalam median pendapatan keluarga.

INDRANEE: 3 CARA BANTU MEREKA YANG MASIH KETINGGALAN

Menjawab pertanyaan pihak media tentang prestasi keluarga Melayu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Cik Indranee Rajah berkata “ia mungkin akibat gabungan beberapa sebab” sambil menarik perhatian pertumbuhan pendapatan bulanan masyarakat Melayu mengikut saiz keluarga sebenarnya adalah yang tertinggi berbanding dua kaum lain.

“Persoalannya adalah bagaimana untuk membantu mereka yang masih ketinggalan? Oleh itu, saya berpendapat bahawa ia memerlukan gabungan beberapa perkara, termasuk langkah-langkah yang sudah kami laksanakan seperti menyediakan laluan yang pelbagai,” kata Cik Indranee.

Beliau seterusnya menekankan apa yang diperlukan bukan sekadar memiliki kelayakan pendidikan yang tinggi sahaja tetapi kemahiran yang betul yang dapat memberikan pendapatan yang sesuai mengikut kemahiran yang bersesuaian dengan keperibadian atau bakat.

Cik Indranee menggariskan tiga perkara untuk boleh dilakukan.

“Pertama, memanfaatkan sebahagian besar laluan di ITE, politeknik dan universiti, dan jika perlu, kelayakan profesional ataupun teknikal.

"Seterusnya adalah untuk menyediakan sebanyak mungkin peluang untuk meningkatkan kemahiran di tahap kehidupan mereka yang berbeza-beza,”

“Yang ketiga, dan ini meliputi semua pekerja, adalah mempunyai peluang untuk berkembang kerana jika tidak ada pekerjaan yang tersedia dan jika kita tidak mempunyai pertumbuhan, tiada peluang yang tersedia untuk mereka,” jelas beliau lagi.

LEBIH RAMAI ISTERI KELUAR BEKERJA

Jumlah pasangan suami isteri meningkat daripada 880,800 pada tahun 2010 kepada 977,300 pada tahun lalu.

Seiring dengan peningkatan kadar penyertaan tenaga kerja wanita pula, kadar pasangan di mana kedua-dua suami dan isteri bekerja meningkat 5.4 peratusan mata - daripada 47.1 peratus pada tahun 2010 kepada 52.5 peratus pada tahun 2020.

Sejajar dengan kenaikan itu, peningkatan tertinggi sebanyak 12.2 peratusan mata dicatat dalam kalangan pasangan berusia 35-49 tahun.

Gabungan pendapatan bulanan pasangan yang bekerja menunjukkan peningkatan yang ketara kepada S$9,000 atau lebih tinggi, meningkat 18.1 peratusan mata dari 29.9 peratus pada 2010 kepada 48.0 peratus pada 2020.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan