Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pulau Brani: 5 hal menarik tentang pulau yang bakal dibangun semula

Pulau Brani sudah wujud sejak dahulu lagi. Bagaimanapun, ia jarang menarik perhatian ramai sehingga Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad mendedahkan pulau itu bersama Sentosa akan dibangunkan semula sebagai pulau riadah.  

Anggaran Waktu Membaca:
Pulau Brani: 5 hal menarik tentang pulau yang bakal dibangun semula

Gambar fail sebuah kampung di Pulau Brani. (Gambar: Wikimedia Commons)

Diterbitkan : 20 Aug 2019 11:35PM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 11:40PM

SINGAPURA: Pulau Brani sudah wujud sejak dahulu lagi. Bagaimanapun, ia jarang menarik perhatian ramai sehingga Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad mendedahkan pulau itu bersama Sentosa akan dibangunkan semula sebagai pulau riadah.

Pulau yang kini menempatkan Terminal Brani, yang dibuka pada tahun 1992, akan dibangunkan semula menjadi sebahagian daripada rancangan Singapura untuk membangunkan Persisiran Selatan Besar (GSW), kata PM Lee, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2019 dalam Bahasa Inggeris.

Pulau Brani akan memuatkan tempat riadah bagi pekerja, seperti Downtown East di Pasir Ris.

PULAU BRANI

Terletak di antara pulau utama Singapura dan pulau Sentosa, Pulau Brani juga pernah satu ketika dulu dikenali sebagai Pulau Ayer Brani dan Pulo Brani.

Dalam bahasa Kantonis, ia dirujuk sebagai 'San chu-shek tui-min', yang bermaksud bertentangan dengan peleburan timah dan 'chha-tin ma-thau tui-min', yang bermaksud bertentangan jeti Jardin.

Sebahagian besar penduduk pulau itu adalah nelayan dengan terdapat empat kampung utama - Telok Saga, Selat Sengkir, Masak Timah and Spedo.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan awal oleh Britain pada pertengahan abad ke-19, Pulau Brani menempatkan kilang batu-bata dan kemudahan untuk memperbaiki bot-bot kecil. Ia adalah idea daripada Charles Prinsep dari syarikat East India Company yang juga memiliki ladang buah pala di Singapura, yang kini dikenali sebagai Prinsep Street.

KUBU TEREGAH

Kilang batu-bata dan kemudahaan itu tidak berkekalan selepas pemerintah menjadikanya markas utama angkatan laut Singapura. Sebuah pelabuhan kecil bagi angkatan laut Britain kemudian dibina.

Pada 1861, Kubu Teregah, yang menempatkan senjata berat dibangunkan di bahagian tenggara Pulau Brani untuk memperkukuhkan benteng pertahanan Singapura.

Empat tahun kemudian, sebuah pelabuhan angkatan laut dibina, termasuk dua pondok arang, sebuah rumah kecil dan jambatan kayu.

Lebih banyak pembangunan dilaksanakan di pulau itu setahun kemudian, apabila sebuah pelabuhan kecil untuk memperbaiki kapal dibina di bahagian barat pulau itu.

KILANG PELEBURAN TIMAH

Pada akhir abad ke-19, sebuah kilang peleburan timah dibina di pulau itu oleh syarikat Straits Trading Company yang kemudian membawa kepada pengilangan "Straits Tin" yang menjadi amat popular di peringkat antarabangsa.

Menjelang 1895, kilang itu mampu menghasilkan 14,000 tan timah setiap tahun.

PANGKALAN TENTERA LAUT BRANI

Pangkalan Tentera Laut Brani dibuka secara rasmi pada 26 Jan, 1974 oleh Perdana Menteri ketika itu Encik Lee Kuan Yew.

Ia menelan belanja sekitar S$35 juta, dan diperluaskan pada 1983.

Pulau itu dianggap sesuai kerana lokasinya dari mana kapal tentera laut boleh dikerahkan ke Selat Singapura.

Tentera Laut Singapura merasmikan bot peluru berpandu pertamanya yang dibeli dari Jerman.

Bagaimanapun disebabkan oleh kawasannya yang terhad, pada 1990 diumumkan operasi Pangkalan Tentera Laut Brani dipindahkan ke Tuas dan Changi.

TERMINAL BRANI

Setahun setelah pengumuman itu, laluan sepanjang 330 meter dibina, bagi menghubungkan Pulau Brani dengan pulau Singapura.

Setelah itu, Terminal Brani dibuka secara rasmi pada 1992 Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong.

Pengendali pelabuhan Singapura, PSA melaksanakan operasi pemindahan dari Brani dan Keppel ke Terminal Pasir Panjang yang lebih baru yang akhirnya akan disepadukan bersama terminal Tanjong Pagar - ke pelabuhan Tuas.

Setelah lebih 27 tahun beroperasi sebagai terminal pelabuhan, Pulau Brani bakal dibangunkan semula sekali lagi berubah mengikut peredaran masa.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan