Images
  • condo
    Petikan gambar kondominium Nicon Gardens. 

PUB: Kondominium didenda S$2,000 kerana gagal baiki paip bocor

SINGAPURA: Sebuah kondominium dikenakan denda sebanyak S$2,000 selepas ia gagal membaiki paip meter yang bocor selama empat hari, kata agensi air negara PUB hari ini (18 Jul).

PUB menerima maklum balas awam mengenai kebocoran air di Nicon Gardens di Choa Chu Kang Road pada 28 Jun. Ia mendapati bahawa paip meter bawah tanah dalam pekarangan kondominium itu bocor.

PUB menyatakan ia mengarahkan pihak pengurusan untuk membetulkan kebocoran itu serta-merta bagi menghentikan pembaziran air.

"Untuk memudahkan kerja-kerja pembaikan yang cepat, kami menyediakan senarai tukang paip berlesen yang boleh mereka hubungi. Dalam masa dua hari penemuan itu, PUB menjalankan siasatan di kondominium berkenaan dan memberikan peringatan berkali-kali kepada pihak pengurusan supaya mempercepatkan pembaikan itu," kata agensi air tersebut.

Menurut PUB, para penduduk juga menghubunginya untuk menanyakan perkembangan kerja-kerja pembaikan tersebut.

PUB mengeluarkan tiga notis kepada pihak pengurusan Nicon Gardens dari 29 Jun hingga 2 Julai.

Kerja-kerja pembaikan akhirnya dijalankan pada 2 Julai, empat hari selepas kebocoran itu pertama kali dilaporkan.

Ini menyebabkan pembaziran kira-kira 4,000 meter padu air yang mampu mengisi 1.5 kolam renang saiz Olimpik dan adalah empat kali ganda purata penggunaan air kondominium itu setiap bulan.

"Kami rasa pembaziran air yang disengajakan ini tidak dapat diterima ... dalam tempoh masa empat hari sahaja Nicon Gardens membazirkan empat bulan bekalan air disebabkan tidak bertindak membaiki kebocoran paip. Ini meskipun PUB sudah berkali-kali memberikan arahan supaya membaiki kebocoran itu," kata Encik Ridzuan Ismail, Pengarah Jabatan Bekalan Air (Rangkaian).

Menurut PUB, kegagalan untuk mematuhi notis PUB supaya membaiki pemasangan khidmat air merupakan satu kesalahan.

Pihak pengurusan Nicon Gardens, didenda S$2,000 memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya. Hukuman maksimum bagi kesalahan itu adalah denda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya. 

- CNA/KN/na

Top