Images
  • hyflux
    Tuaspring Pte Ltd. (Gambar: Hyflux) 

PUB keluarkan notis kemungkiran kepada Tuaspring milik Hyflux

SINGAPURA: Agensi air kebangsaan PUB mengeluarkan notis kemungkiran kepada Tuaspring Pte Ltd (TPL), sebuah anak syarikat Hyflux, untuk menyelesaikan kegagalan di bawah Perjanjian Pembelian Air (WPA) antara PUB dengan TPL.

"PUB sedang mengambil langkah-langkah untuk memastikan bahawa jaminan air dipelihara", menurut satu kenyataan pada Selasa (5 Mac).

"PUB memerlukan TPL untuk menyelesaikan kemungkiran semasa tempoh notis dan jika ia gagal melakukan demikian sebelum tarikh akhir notis, PUB akan melaksanakan haknya untuk membatalkan WPA dan mengambil alih loji tersebut.

PUB menyatakan bahawa Tuaspring gagal memenuhi beberapa kewajipan kontrak di bawah WPA khususnya gagal memastikan loji itu beroperasi seperti yang diperlukan.

"Selain itu, TPL tidak dapat memberikan bukti kewangan untuk menunjukkan ia berupaya memastikan loji berfungsi untuk enam bulan seterusnya," menurut PUB dalam kenyataannya.

"PUB memberi TPL cukup masa untuk mengatasi kegagalan operasi dan kewangannya. Dengan kedudukan kewangan TPL kini, kegagalannya untuk memenuhi kewajipan kontrak besar kemungkinan tidak akan berubah dalam jangka terdekat dan lebih lama.

Pada 2011, PUB menandatangani perjanjian 25 tahun dengan Tuaspring untuk loji penyulingan kedua dan terbesar di Singapura - salah satu daripada tiga loji penyulingan yang ada di Singapura sekarang.

Di bawah WPA, Tuaspring perlu menyediakan hingga 70 juta gelen air sulingan sehari kepada PUB bagi tempoh 25 tahun dari 2013 hingga 2038. 

- CNA/NA/na

Top