Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUB bakal naik taraf longkang, terusan di 16 tempat bermula tahun depan

Agensi air negara PUB merancang untuk memulakan kerja-kerja naik taraf longkang dan terusan di 16 kawasan tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Nov 2017 01:13PM Dikemas Kini : 30 Nov 2017 10:15PM

SINGAPURA: Agensi air negara PUB merancang untuk memulakan kerja-kerja naik taraf longkang dan terusan di 16 kawasan tahun depan.

Langkah itu sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan keupayaan Singapura menghadapi ribut yang lebih kuat, menurut PUB dalam kenyataan media hari ini (30 Nov).

Bagi tujuan itu, Pemerintah juga merancang untuk membelanjakan sekitar S$500 juta untuk menaik taraf lebih banyak longkang menjelang dua tiga tahun, menurut agensi tersebut.

"Dengan perubahan iklim kami menjangkakan lebih banyak ribut kuat yang berlaku di Singapura," kata Encik Ridzuan Ismail, Pengarah Jabatan Tadahan dan Terusan PUB.

Beliau menambah bahawa PUB akan terus menangani keadaan itu dengan memperdalam dan melebarkan lagi longkang-longkang yang ada.

"Namun, kerana permintaan bersaingan bagi penggunaan tanah yang terhad, langkah ini ada batasnya," jelas Encik Ridzuan.

Menurut beliau, "pendekatan lebih mampan" ialah dengan menguruskan bekalan air hujan, dengan melaksanakan langkah-langkah untuk melambatkan pengaliran air ke dalam longkang dan melindungi pembangunan daripada banjir, tambah beliau.

Pemerintah sudah melabur sekitar S$1.2 bilion bagi kerja-kerja pembaikan saluran air sejak 2011.

Sejak 2012, kerja-kerja pembaikan saluran air diselesaikan di 325 tempat.

Menurut PUB longkang-longkang dan terusan di 75 tempat lain sedang menjalani kerja-kerja perluasan dan dijangka selesai dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini.

Ia termasuk kerja-kerja naik taraf di Terusan Bedok, Sungai Kallang dan Sungei Pandan Kechil.

Kerja-kerja di Terusan Lencongan Stamford - bersama Tangki Penakungan Stamford - yang bertujuan untuk mengelak banjir di kawasan seperti Orchard Road, dijadual selesai pada suku ketiga 2018, demikian menurut PUB.

Selain itu, perluasan Terusan Lencongan Pertama Bukit Timah, sepanjang 3.2 km dari Bukit Timah Road dekat Maple Avenue ke Clementi Road, akan selesai pada hujung tahun depan.

Ia akan membantu meningkatkan lagi perlindungan banjir untuk kawasan tadahan Upper Bukit Timah, termasuk Politeknik Ngee Ann, Beauty World Plaza dan Pusat Sime Darby.

"Projek-projek ini akan mengurangkan risiko banjir tetapi dalam keadaan ribut lebih besar, banjir masih boleh berlaku," kata Encik Ridzuan.

Beliau berkata PUB akan memaklumkan orang awam tentang keadaan banjir melalui platform-platform media sosial dan applikasi MyWaters.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan