Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Puan Noor Aishah sudah hampir sebulan dirawat di SGH, jalani 2 pembedahan

Puan Noor Aishah, balu Presiden pertama Singapura Allahyarham Yusof Ishak, dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Anggaran Waktu Membaca:
Puan Noor Aishah sudah hampir sebulan dirawat di SGH, jalani 2 pembedahan

(Gambar-gambar: Fatimah Imran)

BERITAmediacorp: Puan Noor Aishah, balu Presiden pertama Singapura Allahyarham Yusof Ishak, dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan sudah berada di sana hampir sebulan lamanya.

Beliau yang berusia 86 tahun, mula ditahan di wad sejak 21 Jun lalu selepas mengadu bahawa kakinya berasa sakit dan bengkak sehingga dua hari tidak dapat tidur.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, cucu beliau Cik Fatimah Imran mendedahkan bahawa 'Mak Tok' - panggilan mesranya buat ninda tersayang - mengalami masalah pembuluh darah tersumbat pada kedua-dua belah kakinya.

"Selama dua hari sebelum dimasukkan ke hospital, Mak Tok tidak dapat tidur pasal kaki dia kejang semua. Kemudian ada nanah keluar daripada ibu jari kakinya.

"Kami ingatkan ia disebabkan oleh penyakit kencing manis yang Mak Tok hidapi. Tapi tidak. Rupanya ia disebabkan nodus limfa dengan urat saraf dan darah yang tidak dapat mengalir dengan betul," kata Cik Fatimah, cucu sulung Puan Noor Aishah.

(Gambar-gambar: Fatimah Imran)

Puan Noor Aishah bersama cucu sulungnya, Fatimah Imran.

JALANI 2 PEMBEDAHAN ANGIOPLASTI

Selang sehari sahaja selepas dimasukkan ke hospital, pembedahan angioplasti dijalankan ke atas kaki kanan Puan Noor Aishah. Kaki yang sebelah lagi pula dibedah pada 5 Julai.

Pembedahan angioplasti adalah prosedur untuk melancarkan semula aliran darah menerusi pembuluh darah.

"Buat masa ini, Mak Tok masih perlu terus berada di hospital kerana beliau memerlukan terapi oksigen untuk membantu mempercepat proses sembuh. Dalam masa yang sama doktor akan merawat penyakit dialisis beliau sekali," ujar Cik Fatimah yang berkongsi bahawa Puan Nor Aishah hanya akan keluar hospital pada 27 Julai ini.

BERITAmediacorp diberitahu bahawa Puan Noor Aishah, juga menghidap penyakit kencing manis sejak dalam lingkungan usia 60an. Beliau mengalami kegagalan buah pinggang sejak tiga tahun lalu dan perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

"Kalau dekat rumah, sukar untuk Mak Tok bergerak ke sana ke mari (dalam keadaan ini sekarang), nak dapat pengangkutan (untuk ke dialisis). Jadi keluarga saya bersetuju agar beliau terus berada di hospital buat masa ini," tambah Cik Fatimah.

MINTA PULANG BEBERAPA JAM SABTU INI DEMI AMAL

Menceritakan tentang detik-detik selepas dimaklumkan tentang keadaan Puan Noor Aishah yang dimasukkan ke hospital dan perlu menjalani pembedahan pada ketika itu, Cik Fatimah menyifatkannya sebagai menghibakan.

"Bila saya dapat tahu Mak Tok dimasukkan ke hospital dan perlu menjalani pembedahan, ia amat menghibakan. Lebih-lebih lagi beliau perlu melaluinya pada usianya sekarang pada waktu itu juga saya hampir-hampir nak membatalkan acara amal yang akan dianjurkan di rumahnya," ujar Cik Fatimah.

Cik Fatimah dan rakan-rakannya bakal menganjurkan satu acara amal pada hujung minggu ini. Menurut rancangan mereka, ia mahu diadakan di rumah Puan Noor Aishah, seperti kedua-dua tahun sebelum ini.

Dengan Puan Noor Aishah yang kurang sihat dan berada di hospital, mereka hampir membatalkannya. Namun, atas nasihat Puan Noor Aishah sendiri, mereka akan meneruskan acara itu pada Sabtu ini (20 Jun).

"Bila saya tanya Mak Tok, beliau tegas memberitahu bahawa beliau tidak suka melakukan kerja separuh jalan.

"Lebih-lebih lagi beliau juga seorang yang bersifat murah hati. Maka beliau menyuruh kami meneruskan acara ini di rumahnya," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Malah, Puan Noor Aishah juga ada meminta izin kepada doktor untuk membenarkan dirinya keluar hospital selama beberapa jam untuk menghadiri acara itu sebagai tanda sokongan.

Begitulah kuatnya semangat wanita bernama Noor Aishah ini.

(Gambar-gambar: Fatimah Imran)

SEMANGAT UNTUK PULIH

Buat masa ini, sedang beliau berehat dan dirawat di hospital, Puan Noor Aishah sendiri berusaha untuk menguatkan semula kakinya.

"Doktor menasihatkan Mak Tok supaya cuba kerap bergerak supaya urat sarafnya taklah tegang.

"Dan beliau cuba. Misalnya kalau beliau nak makan, beliau akan bangun dan bergerak ke kerusi berdekatan untuk duduk,"cerita Cik Fatimah.

Dengan perkembangan baik itu, Cik Fatimah berharap agar nindanya itu tidak lagi perlu dimasukkan ke hospital dan melalui detik-detik getir seperti itu lagi.

"Beliau seorang yang mesra dengan orang-orang di kelilingnya. Beliau gemar berinteraksi bersama rakan-rakan dan keluarga. Jadi agak sukar untuk saya melihat beliau 'terkurung' di sebuah ruang yang kecil untuk jangka yang panjang," kata Cik Fatimah.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan