Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prospek pekerjaan diramal lemah di tengah kegawatan ekonomi

Prospek pekerjaan di Singapura diramal akan terus melemah meskipun ekonomi bangkit semula pada suku ketiga selepas suku kedua mengalami kemelesetan paras rekod disebabkan oleh tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Prospek pekerjaan diramal lemah di tengah kegawatan ekonomi

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 03:10PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 03:11PM

SINGAPURA: Prospek pekerjaan di Singapura diramal akan terus melemah meskipun ekonomi bangkit semula pada suku ketiga selepas suku kedua mengalami kemelesetan paras rekod disebabkan oleh tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan pada Rabu (28 Okt) bahawa ini mungkin disebabkan oleh kemelesetan ekonomi sekarang yang diramal akan berlarutan berbanding kemelesetan lalu.

Pekerjaan dijangka meningkat sedikit sahaja pada 2021, menurut MAS dalam semakan makroekonomi yang dijalankan setiap enam bulan. Namun, kebangkitan itu mungkin tidak cukup kukuh untuk memacu pasaran buruh ke tahap sebelum krisis melanda walaupun sehingga akhir tahun depan.

"Selepas mengambil kira kesemuanya, kadar pengangguran penduduk diramalkan merosot secara bertahap-tahap pada tahun depan. Ia sebaliknya dijangka akan menjejas gaji sepanjang baki tahun ini dan mungkin sehingga 2021," menurut MAS dalam semakan bagi bulan Oktober itu.

PASARAN BURUH KEKAL LEMAH

Walaupun ramalan bagi pasaran pekerjaan mungkin bertambah baik selepas suku kedua setelah Singapura melangkah keluar dari tempoh pemutus rantaian jangkitan, MAS menyatakan sesetengah segmen dalam ekonomi, seperti yang berkaitan dengan pelancongan dan pengangkutan, mungkin akan terus memotong pekerjaan.

"Kemerosotan dalam sektor-sektor ini, sebaliknya, akan menjejas ekonomi selebihnya, menjejas pasaran buruh secara keseluruhannya," menurut MAS.

Perubahan pada corak penggunaan semasa pandemik COVID-19 juga boleh menghambat permintaan buruh bagi sektor-sektor tertentu secara berterusan, tambah MAS.

Sebagai contoh, dengan aturan bekerja dari rumah diamalkan lebih meluas, permintaan bagi pengangkutan tempatan serta khidmat sosial dan riadah mungkin berkurangan.

Walaupun terdapat peralihan pada permintaan pengguna bagi sistem hiburan di rumah dan barang dapur, ia tidak mungkin akan mendorong peningkatan yang secukupnya dalam permintaan buruh bagi mengimbangi kemerosotan dalam sektor-sektor lain, tambah MAS.

Pertumbuhan pekerjaan dalam sektor-sektor yang mencatat prestasi lebih baik mungkin menjadi lebih perlahan apabila syarikat-syarikat ini mempercepatkan pengambilan pekerja bagi memanfaatkan langkah bantuan Pemerintah.

"Dengan ketiadaan peralihan yang lancar dari pekerjaan yang disokong pemerintah kepada yang dipacu oleh sektor privet, pemulihan pasaran buruh yang kukuh tidak terjamin buat masa ini," menurut MAS.

MAS juga menyatakan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan penduduk kekal lebih tinggi daripada biasa dan ia dijangka merosot secara bertahap-tahap, tidak seperti bagaimana ia pulih semula ke kadar sebelum krisis selepas enam suku menyusuli krisis kewangan global 2008/2009.

Para penduduk yang memasuki semula pasaran pekerjaan sedang ekonomi pulih semula, serta para peserta pelbagai program pelatih yang mencari pekerjaan tetap namun sukar untuk mendapatkannya, mungkin menambah kepada jumlah penganggur di sini.

MAS turut mendedahkan bahawa ketidakserasian pada kemahiran yang diperlukan oleh firma-firma dan kemahiran yang tersedia dalam pasaran mungkin akan meningkatkan tahap pengangguran.

PASARAN BURUH PADA SUKU PERTAMA 2020

Bilangan pekerja yang digajikan merosot sebanyak 138,400 (113,200 pada suku kedua, 25,200 pada suku pertama) dalam enam bulan pertama tahun ini, iaitu kemerosotan sebanyak 3.7 peratus berbanding akhir tahun 2019.

Pemegang pas kerja asing meliputi 55 peratus daripada kemerosotan itu.

Lebih separuh (54 peratus) kehilangan jumlah pekerja berlaku dalam khidmat yang condong kepada pasaran domestik, kecuali bagi elektronik, insurans, teknologi maklumat dan khidmat maklumat yang lain, sedang sektor-sektor lain melaporkan kehilangan pekerjaan.

MAS menyatakan kemerosotan pada jumlah pekerja semasa tempoh kemelesetan ini adalah lebih mendadak berbanding kemelesetan lalu.

Sedang sektor berorientasikan tempatan dan binaan, yang memerlukan banyak tenaga buruh, mengalami kehilangan pendapatan secara ketara semasa tempoh pemutus jangkitan, firma-firma dalam sektor berkenaan memutuskan untuk mengurangkan jumlah pekerja.

Meskipun jumlah pemberhentian pekerja meningkat, ia tetap lebih rendah berbanding jumlah pekerja yang diberhentikan buat sementara waktu atau dikurangkan hari bekerja setiap minggu.

Hampir 86,000 pekerja diletakkan di bawah waktu kerja yang lebih singkat dalam seminggu atau diberhentikan buat sementara waktu pada separuh pertama tahun 2019, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding 26,500 pada suku pertama tahun 2019 semasa krisis kewangan global.

"Penggunaan tempoh bekerja yang lebih singkat dan pemberhentian sementara secara meluas, subsidi gaji yang disediakan di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan rebat dan pengecualian levi pekerja asing, berkemungkinan memastikan bilangan pemberhentian kerja semasa kemelesetan ekonomi kekal rendah, meskipun hasil pendapatan merosot dengan ketara," tambah MAS.

Jumlah pemberhentian pekerja yang agak rendah dan pengurangan sementara pada bilangan pekerja menggambarkan bahawa firma-firma mungkin memikirkan untuk menggajikan semula kakitangan mereka dan mempertingkatkan kapasiti sebaik sahaja operasi disambung semula pada suku ketiga, tambah MAS.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan