Images
  • bukit timah
    Saliran di Holland Green setelah kerja pembinaan. (Gambar: PUB)

Projek terusan Bukit Timah sudah siap, mampu kurangkan risiko banjir kilat

SINGAPURA: Terusan Bukit Timah kini lebih luas dan berupaya mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitarnya. Ini selepas projek peningkatan sistem saliran yang dimulakan sejak 2012 itu akhirnya selesai dijalankan.

Projek Terusan Lencongan Pertama Bukit Timah berkenaan menelan kos tinggi iaitu S$300 juta - antara jumlah terbesar yang dilaburkan sejauh ini.

Disebabkan saiz terusan yang kecil, hujan lebat sebelum ini sering kali menyebabkan kawasan Bukit Timah banjir.

Namun, Terusan Lencongan Pertama Bukit Timah sepanjang 3.2 kilometer dari Bukit Timah Road sehingga Clementi Road kini lebih luas.

Malah, agensi air negara PUB menyatakan ia mampu menampung 30 peratus lebih banyak air hujan.

Projek itu seharusnya selesai dijalankan pada 2016 tetapi tertangguh akibat permukaan bumi tidak rata.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli di acara perasmian petang tadi (13 Sep) berkata projek terusan itu adalah "pelaburan penting dan perlu" sedang perubahan iklim dijangka membawa bersamanya cuaca lebih teruk kelak.

Sejak 2011, Pemerintah melabur S$1.8 bilion bagi kerja-kerja peningkatan sistem saliran.

Tambahan S$400 juta akan dibelanjakan sepanjang dua tahun akan datang.

Sejak 2014, PUB sudahpun selesai melakukan kerja-kerja naik taraf di 254 tempat untuk meningkatkan kapasiti bagi saliran dan terusan.

Kerja-kerja peluasan di lagi 66 tempat masih dijalankan. 

- CNA/AQ/fz

Top