Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek Soar dirintis di 2 M³@Bandar; 100 belia digandingkan dengan mentor selama 9 bulan

 Lebih 100 belia akan digandingkan dengan mentor Melayu/Islam di bawah Projek Soar yang dijalankan selama sembilan bulan di dua M³@Bandar yakni M³@Chua Chu Kang dan M³@Jurong.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 100 belia akan digandingkan dengan mentor Melayu/Islam di bawah Projek Soar yang dijalankan selama sembilan bulan di dua M³@Bandar yakni M³@Chua Chu Kang dan M³@Jurong.

Program mentor belia baru itu melibatkan peserta berusia 14 hingga 16 tahun dan dilancarkan kumpulan M³@Chua Chu Kang di Kelab Masyarakat Keat Hong, malam ini (30 Nov).

Ia dihadiri oleh penasihat program Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara Zaqy Mohamad dan Anggota Parlimen GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam.

Projek Soar adalah salah satu inisiatif utama di bawah Bidang Fokus Ketiga M³ yang dipimpin Cik Rahayu untuk memperkasa dan membangunkan golongan belia dengan keupayaan, perwatakan baik dan mempunyai semangat bermasyarakat. Ia akan dijalankan di Chua Chu Kang pada 30 November dan di Jurong pada 7 Disember 2019 sebagai satu program rintis.

Bagi tempoh sembilan bulan, belia berusia 14 tahun hingga 16 tahun akan digandingkan dengan mentor berusia 17 tahun hingga 35 tahun yang akan menjalani pelbagai kegiatan bersama termasuk berhubung kerjaya, khidmat masyarakat dan budaya.

Para peserta juga berpeluang mengambil bahagian dalam kegiatan anjuran Jawatankuasa Eksekutif Belia Kelab-kelab Masyarakat (YEC) dalam setiap M³@Bandar.

M³@Bandar sudah mendampingi sekolah-sekolah kejiranan dan Madrasah sepenuh masa, bagi menggalak para pelajar untuk mendaftar sebagai peserta program tersebut.

Dalam masa yang sama, ia juga mendekati golongan belia di institusi pengajian tinggi (Universiti, Politeknik, ITE, Maktab Rendah) masjid-masjid dan karyawan muda untuk berdaftar sebagai mentor, serta menjalani latihan mentor asas yang dikendalikan MENDAKI.

"Saya gembira melihat Projek Soar dilancarkan. Ia benar-benar hasil usaha para pemimpin masyarakat dalam M³@Bandar bersama dengan agensi-agensi M³ dan rakan kerja masyarakat.

"Saya yakin bahawa para mentor yang dilatih itu akan dapat menyokong dan memberi motivasi kepada para peserta sepanjang tempoh sembilan bulan ini. Saya berharap bahawa projek ini akan memberi kesan bermakna kepada semua orang yang terlibat, terutama sekali para peserta," ujar Cik Rahayu.

PELANCARAN PROJEK SOAR@CHUA CHU KANG

Sesi pertama program di Chua Chu Kang melibatkan 18 mentor dan 60 peserta mengambil bahagian dalam beberapa kegiatan termasuk jelajah kawasan itu untuk saling mengenali satu sama lain dengan lebih rapat lagi.

Para peserta juga mengumpul beberapa barangan untuk membuat layang-layang, yang merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan semasa pelancaran program itu.

Layang-layang yang dilepaskan ke udara mengandungi kata-kata aspirasi peserta.

Para mentor dan peserta akan berpeluang untuk bertemu secara kerap lagi dan menyertai pelbagai acara bimbingan menerusi sukan air di PAssion WaVe @ Taman Tasik Jurong, mendapat bantuan pembelajaran dan peluang kerjaya serta berdialog bersama pemimpin masyarakat.

"Kami berbesar hati diberi peluang untuk melancarkan Projek Soar di Chua Chu Kang. Para relawan kami bekerja rapat selama empat bulan dengan sokongan agensi-agensi lain untuk melakarkan program suai dengan keperluan peserta,"kata Cik Hamidah Aidillah, Pengerusi jawatankuasa penganjur Projek Soar.

"Kami berharap program ini dapat memberi inspirasi, membentuk dan memberi motivasi kepada peserta bahawa banyak peluang terbentang luas untuk mereka. Kami berharap anggota keluarga, rakan dan guru akan terus memberi sokongan moral dalam perjalanan mereka menjadi belia berperwatakan baik, cekap dan bersemangat masyarakat," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan