Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek naik taraf wakaf 51 Bencoolen Street bermula Jun

WBD Legacy Pte Ltd, anak syarikat Warees Investments Pte Ltd, akan menjalankan kerja-kerja menyegarkan semula projek pembangunan bercampur sedia ada di 51 Bencoolen Street secara berperingkat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: WBD Legacy Pte Ltd, anak syarikat Warees Investments Pte Ltd, akan menjalankan kerja-kerja menyegarkan semula projek pembangunan bercampur sedia ada di 51 Bencoolen Street secara berperingkat.

Ini merupakan projek peningkatan ketiga Warees Investments Pte Ltd, anak syarikat MUIS, di bawah Skim Peningkatan Wakaf.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersama oleh WBD Legacy Pte Ltd dan Warees Investments Pte Ltd, projek naik taraf yang menelan kos sekitar S$18 juta itu dijangka akan bermula pada Jun 2019 dan akan mengambil masa sekitar 18 bulan untuk selesai.

Diwasiatkan sebagai tanah wakaf, projek pembangunan bercampur itu merangkumi sebuah masjid dan beberapa rumah kedai. Hartanah-hartanah itu dibangunkan semula pada 2002 sebagai pembangunan bercampur yang merangkumi sebuah masjid baru, apartmen kediaman dan ruang komersil dengan kos pembangunan sebanyak S$35 juta yang dibiayai oleh Sukuk Musyarakah (Bon Islam).

MEMPERTINGKATKAN ASET WAKAF

Dengan selesainya pembinaan stesen MRT Bencoolen bawah tanah di Laluan Downtown dan perubahan kawasan Bencoolen Street berciri 'kurang kereta' pada 2017, kawasan itu sudah berubah wajah.

Justeru, inilah masa yang sesuai bagi hartanah di 51 Bencoolen Street dinaik taraf untuk memanfaatkan sepenuhnya nilai dan sumbangannya kepada masyarakat.

Projek peningkatan itu termasuk apartmen servis di Somerset Bencoolen Singapore yang akan menyasarkan golongan pelancong lebih pelbagai. Tiga unit tambahan akan dibangunkan menjadikan jumlah keseluruhan unit 110 berbanding 107 sekarang.

Apabila siap, kompleks apartmen servis itu akan menampilkan konsep baru - kemudahan mesra Muslim untuk memenuhi keperluan pasaran pelancongan Muslim yang pesat berkembang.

Ia akan menampilkan ciri-ciri unik bagi kemudahan tetamu Muslim terutama dari negara-negara ASEAN dan Timur Tengah. Konsep baru dan moden itu juga inklusif dan terbuka kepada semua segmen pasaran dan pelancong.

MANFAAT KEPADA MASJID BENCOOLEN

Penerima manfaat utama hartanah wakaf itu adalah Masjid Bencoolen, yang merupakan salah sebuah masjid tertua di Singapura dan institusi agama utama bagi masyarakat India Muslim.

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli melancarkan projek mengumpul dana bagi peningkatan Masjid Bencoolen pada 14 Mei 2019.

Dengan kerja-kerja naik taraf yang dijalankan, Masjid Bencoolen akan dapat menampung sehingga 1,500 jemah berbanding 500 jemaah kini.

Kerja-kerja peningkatan itu yang menelan belanja S$4 juta, menampilkan ruang solat khas untuk kaum wanita di aras pertama, sebuah pejabat masjid baru dan kaunter khidmat pelanggan serta kemudahan-kemudahan lain seperti bilik-bilik darjah dan dewan masyarakat serba guna.

Kemudahan-kemudahan ini akan dapat menampung program-program Pembelajaran Islam yang kian meningkat bagi masyarakat India Muslim.

Malah, terdapat juga kemudahan-kemudahan baru yang akan menjadikan masjid tersebut lebih mesra warga tua dan golongan kurang upaya. Ini termasuk kemudahan-kemudahan bebas penghadang seperti akses kepada lif di semua tingkat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan