Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek ARIF Yayasan Temasek hulur sokongan lebih menyeluruh kepada 800 pasangan Islam

Seramai 800 pasangan Islam bakal meraih manfaat daripada sebuah program yang dikhususkan bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 800 pasangan Islam bakal meraih manfaat daripada sebuah program yang dikhususkan bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Sepanjang dua tahun, Projek ARIF Yayasan Temasek akan memberikan sokongan lebih menyeluruh kepada pasangan yang melayari alam perkahwinan dan merancang untuk membina keluarga.

Projek ARIF dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Masjid Yusof Ishak pada Ahad (21 Mac).

(Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

Hasil kerjasama MUIS, Yayasan Temasek dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), ia bermatlamat untuk memberikan sokongan lebih menyeluruh dan bersepadu kepada pasangan yang baru berumahtangga, di samping mengukuhkan mahligai yang bakal dibina bersama.

Lanjutan daripada Program Bersamamu, program perintis sehingga 2022 itu dilaksanakan di empat masjid di kawasan utara - Masjid An-Nur, Assyafaah, Darul Makmur dan Yusof Ishak.

Program percuma itu ditawarkan kepada para mempelai yang bernikah antara 2020 dengan 2022.

"Ia bukan sahaja akan memberikan dorongan dari segi kesihatan tetapi dorongan dari segi isu-isu pembangunan keluarga, keagamaan dan satu sokongan yang menyeluruh untuk memulakan satu aspek ataupun satu detik yang sangat penting dalam kehidupan mereka iaitu perkahwinan, proses keibubapaan dan juga bagaimana mereka boleh melihat dari segi jangka masa panjang untuk membangunkan keluarga yang mempunyai daya tahan dan boleh membangunkan detik-detik inspirasi yang bermakna bagi mereka," kata Dr Faishal.

INISIATIF DISAMBUT BAIK PASANGAN MUDA

Antara 84 pasangan yang sudah meraih manfaat daripada program itu ialah Encik Muhd Firman Mohd Hanif, 29 tahun dan isterinya, Cik Nazartul Shehnaz, 28 tahun.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Disember lalu dan kini sedang menantikan ketibaan cahaya mata mereka yang pertama.

(Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

Di bawah bimbingan Naib Kadi dan para pakar KKH melalui Projek ARIF, Encik Firman dan Cik Nazartul boleh mendapatkan nasihat dan panduan mengenai kehamilan serta tip-tip membesarkan anak menerusi webinar dan program-program lain.

Bagi pasangan itu, mereka tertarik untuk menyertai Projek ARIF selepas berbincang dengan kadi mereka. Menurut mereka juga, siri webinar yang dianjurkan sangat bermanfaat dan menepati jadual mereka yang sibuk.

"Sebagai pasangan muda, kita tidak ada masa untuk membaca. Jadi kalau ada program yang diadakan, kita hanya perlu mengambil ilmunya saja.

"Kita perlu mengetahui apa itu langkah-langkah dalam perkahwinan, apa yang kita harus pelajari dalam kehidupan rumah tangga seperti kewangan dan bagaimana memahami sikap pasangan kita," kata Encik Firman, yang bertugas sebagai seorang Eksekutif Keselamatan.

Meskipun masih baru melayari bahtera perkahwinan, Cik Nazartul berkongsi apa yang dipelajari sejauh ini sudahpun diterapkan dalam rutin sehariannya.

"Setiap malam kita ada sesi perkongsian. Kita akan luahkan perasaan kita, pekerjaan kita, apa yang kita risaukan dan bagaimana kita mencari huraian untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu."

PELBAGAI PROGRAM DITAWARKAN KKH

Nadi utama Projek ARIF yang bertanggungjawab mengendalikan sebahagian besar program-programnya adalah sebuah pasukan yang berdedikasi dari KKH.

Pasukan seramai sembilan anggota itu terdiri daripada seorang doktor, jururawat, pekerja kebajikan perubatan kanan, pengurus projek dan pentadbir.

Pelbagai topik seperti tanggungjawab rumah tangga, perancangan kewangan, hubungan intim antara suami dan isteri serta kemahiran keibubapaan bakal dikupas menerusi siri webinar bersama para pakar, doktor dan asatizah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Ketua bersama Projek ARIF yang juga Ketua dan Konsultan Kanan, Jabatan Ginekologi dan Obstetrik di KKH, Dr Suzanna Sulaiman berkata: "Kami juga telah menyediakan sumber-sumber yang mana kami ada buku panduan khusus yang mana semua sumber disatukan dalam satu buku untuk kesihatan ibu-ibu dan kanak-kanak juga."

Setebal 104 muka surat, buku panduan itu turut mengandungi hadis-hadis yang sesuai dengan topik-topik yang dibincangkan, berkat kerjasama dengan para asatizah.

2 PUSAT SUMBER JELANG 2021, 2022

Dua pusat sumber akan dibangunkan di dua masjid di bawah projek perintis ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Salah satu daripadanya akan mula beroperasi di Masjid Assyafaah menjelang suku ketiga 2021, manakala sebuah lagi pusat akan dibuka di Masjid An-Nur, suku kedua 2022.

Kedua-dua pusat itu akan dikendalikan oleh KKH dan bakal menyediakan khidmat nasihat kesihatan serta menawarkan program-program yang relevan di masjid. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan