Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program vaksinasi COVID-19 bermula bagi lebih 50,000 pemandu teksi, kereta sewa privet

Lebih daripada 50,000 pemandu teksi dan khidmat kereta sewa privet boleh membuat temu janji bagi vaksinasi COVID-19 mulai minggu ini, sedang program vaksinasi nasional berlangsung di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Feb 2021 05:53PM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 09:06PM

SINGAPURA: Lebih daripada 50,000 pemandu teksi dan khidmat kereta sewa privet boleh membuat temu janji bagi vaksinasi COVID-19 mulai minggu ini, sedang program vaksinasi nasional berlangsung di Singapura.

Menjelang hujung minggu ini, para pemandu aktif akan secara bertahap-tahap menerima kiriman SMS dengan pautan untuk membuat temu janji bagi vaksinasi COVID-19, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (23 Feb).

Mereka boleh memilih untuk mendapatkan suntikan di mana-mana pusat vaksinasi, poliklinik atau klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang beroperasi sebagai tempat vaksinasi, menurut LTA.

Program vaksinasi itu adalah usaha bersama oleh LTA dan Kementerian Kesihatan (MOH), disokong oleh Persatuan Teksi Nasional (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) serta pengendali teksi dan khidmat kereta sewa privet.

Vaksinasi bagi sektor pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat bermula pada Selasa, dengan sekitar 300 pemandu menerima dos pertama di bekas tapak Sekolah Menengah Hong Kah di Jurong West. Bekas tapak sekolah itu kini berfungsi sebagai pusat vaksinasi.

Bercakap kepada para wartawan semasa lawatan ke pusat itu, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor berkata ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menawarkan vaksinasi kepada sekitar 80,000 pekerja pengangkutan darat bagi "mengukuhkan ketahanan khidmat pengangkutan penting".

"Setakat 14 Feb, lebih daripada 14,000 pekerja pengangkutan awam menerima dos pertama vaksinasi. Dan dalam kalangan itu, lebih daripada 10,000 pekerja demikian sudah menerima dos kedua vaksinasi mereka, justeru selesai menjalani rejim vaksinasi sepenuhnya," kata Dr Khor, yang juga merupakan Anggota Parlimen Hong Kah North.

Beliau mengambil perhatian bahawa para pemimpin NTA dan NPHVA - yang sendirinya merupakan pemandu - menunjukkan contoh yang baik dengan tampil untuk mendapatkan dos pertama vaksin, sama seperti pengurusan kanan dari pengendai teksi dan khidmat kereta sewa privet.

"Sejak permulaan pandemik COVID-19, NTA dan NPHVA telah bekerja rapat dengan para pemandu khidmat pengangkutan tempat ke tempat dan rakan kongsi perikatan tiga pihak untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang selamat.

"Mereka mengekalkan kebersihan diri, menjaga kebersihan kenderaan dan mengamalkan langkah pengurusan selamat ketika menghantar para penumpang," kata pengarah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Yeo Wan Ling.

"Para pemandu kami juga mahu memainkan peranan mereka dalam strategi vaksinasi Singapura. Langkah ini akan terus melindungi mereka, keluarga mereka serta para penumpang kami," kata Cik Yeo yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol.

"Vaksinasi boleh memberi lebih ketenangan fikiran kepada para pemandu teksi dan (khidmat kereta sewa privet) dengan memastikan perlindungan bagi mereka dan keluarga mereka," kata ketua pegawai eksekutif LTA Ng Lang.

Ia juga akan memberi jaminan kepada para penumpang dan menyumbang kepada keseluruhan daya tahan masyarakat terhadap COVID-19, katanya.

Cik Tammy Tan, ketua pegawai perhubungan korporat kumpulan bagi syarikat gergasi teksi ComfortDelGro, berkata syarikat itu berbesar hati kerana para pemandunya ditawarkan vaksinasi.

"Kami menyokong kuat langkah ini dan kami telah menggalakkan para pemandu kami untuk membuat pendaftaran - bukan sahaja demi kesihatan mereka sendiri, tetapi juga demi keselamatan para penumpang dan anggota keluarga mereka," katanya.

Pengarah urusan Grab Singapore Yee Wee Teng berkata syarikat itu akan menawarkan untuk melanjutkan polisi insurans cuti sakit berpanjangan
kepada para pemandu mereka untuk meliputi kemungkinan sebarang kehilangan pendapatan sekiranya mereka dimasukkan ke hospital kerana kesan sampingan vaksinasi.

"Kami juga akan terus mendampingi rakan kongsi pemandu kami menerusi aplikasi pemandu bagi membantu mereka memahami dengan lebih baik tentang manfaat vaksinasi," kata Encik Yee, sambil menambah bahawa memastikan para pemandu menjalani vaksinasi "adalah langkah penting dalam membantu Singapura mengorak langkah ke fasa pemulihan".

Pada awal bulan ini, Grab mengumumkan rancangan untuk kesemua kakitangan, pemandu dan pekerja penghantarannya di seluruh rantau ini diberi suntikan vaksin menjelang hujung tahun ini. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan