Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program UPLIFT berhasil dampingi 100 pelajar dari 80 keluarga mudah terjejas

Program perintis Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT) dilancarkan awal tahun ini dan dijalankan bersama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Program perintis Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT) dilancarkan awal tahun ini dan dijalankan bersama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Program dua tahun itu bermatlamat mendekati lebih 300 pelajar mudah terjejas dan keluarga mereka di Woodlands, Kreta Ayer dan Boon Lay.

MAKIN RAMAI TIDAK LAGI PONTENG SEKOLAH

MOE memberitahu BERITAmediacorp bahawa sehingga akhir bulan lalu, 100 pelajar dari 80 keluarga berjaya dibantu.

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan ia satu kemajuan baik ke arah membantu pelajar yang menunjukkan tanda awal bermasalah seperti ponteng sekolah secara tetap.

Sokongan menerusi program tersebut juga disentuh Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, baru-baru ini di Parlimen sebagai usaha membantu golongan mudah terjejas mencapai potensi dan aspirasi mereka.

"Kita melihat anak-anak yang sudah mula mungkin lebih selesa untuk pulang ke sekolah kerana permulaannya ialah indikator kami ialah mereka mula tidak ke sekolah kerana mungkin tidak mempunyai sokongan yang diperlukan."

Kita sudah melihat kesan-kesan baru ini dan kami harap dengan apa yang kita dapati kesan positif akan ditingkatkan menerusi kerjasama yang diperlukan," kata Dr Maliki.

TURUT TERJEJAS DEK COVID-19

Menurut MOE, pandemik COVID-19 turut menjejas golongan pelajar tersebut ekoran pelbagai cabaran sosial yang dihadapi keluarga mereka.

Maka itu, sokongan akan diperkukuh termasuk dari segi menyelia kerja sekolah mereka di rumah serta bimbingan perkembangan sosio-emosi.
Selain itu, para penyelaras program di setiap kawasan juga memadankan keluarga-keluarga yang mudah terjejas itu dengan program-program masyarakat atau bantuan yang sesuai.

"Masalah yang dihadapi oleh anak-anak ini bukan sahaja masalah keupayaan mereka dari segi pendidikan tapi juga masalah kestabilan keluarga. Kami mahu anak-anak ini membesar dan dibangunkan potensi mereka dengan kerjasama keluarga, kerjasama ibu bapa mereka," kata Dr Maliki lagi.

Keadaan COVID-19, tambah beliau, mungkin merumitkan lagi kestabilan keluarga tersebut kerana mereka lebih terjejas dengan risiko kehilangan pekerjaan.

KERJASAMA BERBILANG PIHAK DIPERLUKAN

Dalam hal ini, Dr Maliki menjelaskan, kerjasama antara Pemerintah dengan masyarakat amat penting dalam membantu meringankan tekanan yang mereka hadapi.

"Kita melihat bagaimana kita harus bekerjasama bukan sahaja di peringkat MOE sahaja tapi di peringkat masyarakat."

"Lebih-lebih lagi untuk masyarakat Melayu/Islam, kita bekerjasama dengan M³ di mana MUIS, MENDAKI dan MESRA bergabung dengan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) serta pusat-pusat khidmat keluarga untuk mendekati keluarga-keluarga ini," kata beliau.

Ini termasuk sokongan dalam membina keluarga kukuh serta mendapat peluang untuk meningkatkan daya kerja.

MOE menyatakan, ia akan memantau kemajuan program UPLIFT sehingga 2022 yang ditetapkan sebelum mengkaji kemungkinan untuk memperluaskannya ke kawasan lain.   

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan