Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program UPLIFT bakal diperluas kepada pelajar politeknik juga, dedah Dr Maliki

Program UPLIFT yang bertujuan sediakan bantuan menyeluruh kepada para pelajar akan lepasi sasaran mendampingi lebih 300 penuntut dari keluarga kurang nasib baik atau bermasalah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Inisiatif Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga atau UPLIFT akan juga diperluaskan kepada para pelajar politeknik.

Demikian dedah Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman dalam ulasan lanjut beliau mengenai program itu.

UPLIFT bertujuan menyediakan bantuan menyeluruh kepada para pelajar dari keluarga kurang bernasib baik atau keluarga bermasalah supaya dapat memenuhi potensi penuh mereka dalam pendidikan serta menguatkan daya mobiliti sosial mereka.

Sejak dirintis pada Januari 2020 di Woodlands, Kreta Ayer dan Boon Lay, UPLIFT sudah menyokong sekitar 100 pelajar sekolah rendah dan menengah yang kurang bernasib baik.

Dalam ucapan beliau di Parlimen pada Rabu (3 Mac), Dr Maliki berkata antara hasilnya sejauh ini, sekitar 80 peratus pelajar yang menyertainya kini lebih kerap hadir ke sekolah berbanding sebelum ini.

Mereka juga dibantu mendapatkan akses internet serta peranti digital bagi pembelajaran di rumah (HBL) semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Kini, kata Dr Maliki, UPLIFT juga sudah mula mendampingi satu lagi kawasan estet iaitu Bukit Merah.

"Kami akan menyebarkan sayap program UPLIFT ini kepada para penuntut atau anak-anak yang tinggal di flat rumah sewa. Dan di sini, lebih daripada 70 sekolah rendah yang berada di dalam kawasan rumah-rumah sewa di tiga bandar rintis itu akan didekati untuk dibantu juga," kongsi beliau.

LEPASI SASARAN ASAL UNTUK DAMPINGI 300 PELAJAR

Dengan peluasan UPLIFT itu, Dr Maliki berkata pihaknya akan menjangkaui sasaran asal untuk mendampingi 300 pelajar menjelang 2022.

Tidak tertumpu kepada aspek pendidikan saja, inisiatif UPLIFT juga menyediakan sokongan holistik dengan pelibatan rakan-rakan masyarakat serta berkemungkinan akan menggabungkan program bantuan sedia ada di bawah naungan M³.

Ini termasuk menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa para pelajar dalam memperkasakan diri mereka.

Pada lewat tahun lalu, Dr Maliki sudahpun menyatakan UPLIFT akan diperluaskan kepada pelajar ITE.

Kini, ia malah akan dilanjutkan kepada para pelajar politeknik juga, dedah beliau.

"Walaupun mereka sudah sampai ke tahap ITE dan politeknik, ini tidak semestinya mereka tidak mempunyai cabaran.

"Ramai di antara mereka masih terus dibelenggu dengan cabaran-cabaran sosial kerana keadaan keluarga mereka dan kami ingin memberi satu kepastian bahawa apa jua cabaran yang mereka hadapi hari ini tidak sepatutnya menghambat keupayaan mereka untuk berjaya dalam pelajaran mereka," ujarnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan