Images
  • mtl bahasa melayu

Program Sokongan Bahasa ibunda bantu pelajar bertutur lebih lancar, yakin diri

SINGAPURA: Murid-murid sekolah rendah yang lemah dalam bahasa ibunda kini sudah boleh bertutur dan membaca dengan lebih lancar.

Sekolah-sekolah yang dihubungi CNA berkata perubahan itu dilihat dalam kalangan para pelajar sejak mereka mengikuti program perintis Sokongan Bahasa ibunda pada tahun ini.

Program untuk pelajar Darjah 3 itu menekankan pembelajaran secara interaktif.

Ia akan dilancarkan di semua sekolah pada tahun 2021.

Murid-murid Sekolah Rendah Clementi itu sedang mengikuti kelas bahasa Melayu yang sama tetapi dengan dua guru berbeza.

Kumpulan lebih kecil ini memanfaatkan sumber-sumber pembelajaran yang lebih mudah seperti kad-kad bergambar yang menggalakkan mereka untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

Mereka dipilih untuk menyertai Program Sokongan Bahasa ibunda berdasarkan keputusan peperiksaan Darjah 2 mereka pada tahun lalu.

Sekolah Rendah Clementi adalah salah satu daripada 24 sekolah yang merintis program itu pada tahun ini.

Para pelajar itu diajar secara berasingan untuk sekurang-kurangnya 30 minit sebelum menyertai rakan-rakan yang lain.

Menerusi program tersebut, para pelajar Darjah 3 diajar bahasa ibunda menggunakan kaedah yang berbeza-beza mengikut tahap keupayaan masing-masing.

Mereka kini lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa Melayu di bilik darjah dan juga di rumah.

Jumlah pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya gred C untuk bahasa ibunda merosot 1.1 mata kepada 96.5% pada tahun lalu.

Dengan menyediakan lebih banyak kaedah pembelajaran dan sumber yang disesuaikan secara percuma, program itu berharap dapat membantu pelajar yang lemah meningkatkan kecekapan bahasa mereka.

Kementerian Pendidikan menyatakan program pembangunan profesional disediakan untuk semua sekolah rendah secara berperingkat-peringkat untuk memastikan semua sekolah mempunyai guru yang terlatih untuk melaksanakan program itu apabila ia dilancarkan sepenuhnya pada 2021.

Sasarannya adalah untuk menyediakan sekurang-kurang satu guru bagi kelas bahasa ibunda.

Program itu akan dilanjutkan kepada para pelajar Darjah 4 setahun kemudian.

- CNA/RR/na

Top