Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program perintis dilancar bagi tangani masalah pelajar ponteng sekolah

Para pelajar dari keluarga kurang bernasib baik akan menerima lebih banyak sokongan untuk kerap datang ke sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jan 2020 08:27PM Dikemas Kini : 18 Jan 2020 09:05PM

SINGAPURA: Para pelajar dari keluarga kurang bernasib baik akan menerima lebih banyak sokongan untuk kerap datang ke sekolah.

Ini menerusi satu program tiga tahun yang dilancarkan pemerintah hari ini (18 Jan) yang menyepadukan sokongan sekolah dengan masyarakat.

Ia sebahagian daripada usaha Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT).

Tahun lalu, sekitar satu daripada setiap 1,000 murid sekolah rendah dan sekitar lapan daripada setiap 1,000 pelajar sekolah menengah tidak datang ke sekolah sekurang-kurangnya 60 hari tanpa alasan yang sah.

Di bawah program perintis ini, lebih 300 pelajar kurang bernasib baik di Woodlands, Kreta Ayer dan Boon Lay akan menerima lebih banyak bantuan bagi menangani masalah ponteng sekolah seperti itu.

Mereka yang menunjukkan tanda-tanda awal masalah itu akan dikenal pasti oleh pihak sekolah dan dirujukkan kepada penyelaras UPLIFT yang akan menghubungkan mereka dengan program serta sumber yang sesuai. 

Menurut Menteri Kedua Pendidikan, Indranee Rajah: "Kami telah mendapatkan pandangan dari banyak pihak berkepentingan. Salah satu perkara yang begitu menonjol adalah pentingnya mempunyai penyelarasan dan integrasi lebih baik antara pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan. Setelah memikirkannya, kami mengadakan penyelaras di peringkat bandar."

Sebuah sekolah mendedahkan bahawa para pelajar yang ada masalah ponteng sekolah selalunya mengalami kesulitan di rumah.

Misalnya, ada yang perlu menjaga adik-adik di rumah atau tidak dipantau serta tiada bimbingan dari orang dewasa selepas waktu sekolah.

Walaupun sudah ada program-program untuk membimbing kanak-kanak seperti itu, pihak sekolah menyatakan inisiatif terbaru UPLIFT akan dapat membantu mereka.

Antara lain, mereka dapat meraih manfaat daripada bimbingan melakukan kerja rumah dan bantuan akademik.

Mereka juga mendapat peluang menceburi kegiatan sukan dan seni serta program mentor bagi pembangunan sosial dan emosi.

Kementerian Pendidikan akan menilai hasil program perintis itu dan meneroka rancangan untuk meluaskannya ke kawasan-kawasan lain.

Sumber : CNA/NF/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan