Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program perintis bantu jaga kanak-kanak berpenyakit kronik

Menjaga kanak-kanak berkeperluan khas semestinya mencabar bagi ibu bapa mahupun mereka yang mengasuh kanak-kanak seperti ini. Malah, golongan pengasuh dan penjaga seperti ini turut dikenali sebagai "pesakit kedua" hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
Program perintis bantu jaga kanak-kanak berpenyakit kronik

Cik Lee Seu Hong (dua dari kanan) dibantu jururawat Selvi Thevatha (kiri) dan Maryani Abdul Wahab untuk menjaga anaknya. (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 11:53AM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 11:58AM

SINGAPURA: Menjaga kanak-kanak berkeperluan khas semestinya mencabar bagi ibu bapa mahupun mereka yang mengasuh kanak-kanak seperti ini. Malah, golongan pengasuh dan penjaga seperti ini turut dikenali sebagai "pesakit kedua" hospital.

Lataran itu, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK memperkenalkan satu program perintis dua tahun lalu.

Melalui Program Sokongan Penjaga, yang mula dijalankan pada September 2016, hospital itu menyediakan sesi-sesi kaunseling bagi mereka yang menjaga kanak-kanak berpenyakit kronik. Para peserta dalam program itu juga menerima tiga sesi percuma di mana para jururawat mengambil alih tugas menjaga kanak-kanak selama empat jam setiap dua bulan.

Selepas bertemu dengan 326 orang yang menjaga kanak-kanak di bawah Program Jagaan di Rumah Pediatrik KKH bagi menilai sekiranya mereka mengalami tekanan dan risiko kesihatan mental, lebih 50 peratus didapati mempunyai risiko tinggi. Sekitar 110 penjaga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Program Sokongan Penjaga KKH.

Selepas bertemu dengan para peserta, Mediacorp difahamkan ibu bapa berdepan dengan kesulitan untuk meneruskan kegiatan seharian sehingga tidak mempunyai masa untuk menenangkan fikiran.

Dengan adanya jururawat yang membantu mereka, ibu bapa berpeluang untuk mententeramkan jiwa sekaligus mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Program perintis itu hasil satu tinjauan yang dijalankan selama 10 bulan. Para penjaga kanak-kanak yang sakit didapati berisiko mengalami kemurungan.

Antara bentuk sokongan yang diharapkan adalah khidmat di mana seseorang mengambil alih tugas menjaga pesakit buat sementara waktu.

"Sokongan seperti ini penting... kerana jika ibu bapa berfikir mereka mendapat sokongan yang mencukupi, risiko mengalami kemurungan akan berkurangan dan mutu kehidupan mereka akan bertambah baik," kata penasihat program perintis itu, Profesor Madya Chan Yoke Hwee.

Mendedahkan lebih lanjut, KKH menyatakan bahawa 70 peratus peserta menunjukkan mereka kurang mengalami tekanan, manakala 86 peratus mengatakan mereka tidak lagi berasa tertekan.

Program Sokongan Penjaga itu menerima pembiayaan dana daripada Yayasan Temasek Cares bernilai S$513,000 bagi tempoh dua tahun setengah.

Profesor Madya Chan mengatakan bahawa perancangan untuk meluaskan khidmat itu sedang dijalankan.

Para penjaga juga dijangka dapat melanggani khidmat seperti itu pada masa akan datang, meski anggaran kosnya belum lagi disediakan.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan