Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program Peningkatan Rumah akan diperluaskan kepada lagi 230,000 flat

Lagi 230,000 flat akan dinaik taraf sedang pemerintah berusaha untuk memperluaskan Program Peningkatan Rumah (HIP) untuk merangkumi blok-blok HDB yang dibina sehingga 1997, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Program Peningkatan Rumah akan diperluaskan kepada lagi 230,000 flat

Gambar fail flat HDB di Singapura.

Diterbitkan : 19 Aug 2018 10:30PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 10:41PM

SINGAPURA: Lagi 230,000 flat akan dinaik taraf sedang pemerintah berusaha untuk memperluaskan Program Peningkatan Rumah (HIP) untuk merangkumi blok-blok HDB yang dibina sehingga 1997, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (19 Ogos).

Peluasan program itu juga akan meliputi satu komponen baru yang diberi nama HIP II, yang membolehkan flat-flat HDB menjalani pusingan kedua bagi kerja-kerja naik taraf apabila mencecah usia 60 hingga 70 tahun.

Ini diumumkan dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan PM Lee, yang juga menyentuh tentang mengapa tempoh pajakan flat HDB tidak harus menjangkau 99 tahun.

Dilancarkan pada 2007 untuk menangani masalah penyenggaraan bagi flat-flat lama HDB, skim HIP pada asalnya merangkumi flat-flat yang dibina sehingga 1986 dan flat-flat yang belum menjalani Program Peningkatan Utama (MUP).

Kos kerja-kerja naik taraf di bawah program itu dibiayai pemerintah sehingga 95 peratus.

Setakat sehingga 1 Ogos, sekitar 242,000 daripada hampir 320,000 flat yang diisytiharkan layak untuk menjalani HIP sudah diumumkan, menurut HDB. Kerja-kerja naik taraf sudah dilaksanakan bagi 122,000 flat, dengan kerja-kerja serupa sedang dijalankan ke atas bakinya.

PM Lee berkata bahawa kelompok terakhir bagi flat yang layak untuk skim itu akan diumumkan menjelang tahun depan. Apabila tamat dilaksanakan, 450,000 flat secara keseluruhannya akan dinaik taraf di bawah HIP dan MUP.

Bagaimanapun, ada juga flat yang tidak layak di bawah HIP dan mula menunjukkan tanda-tanda bertambah tua, kata PM Lee.

Sebagai contoh, estet-estet seperti Yishun, Tampines dan Jurong mempunyai flat-flat yang dibina sebelum dan selepas 1986. Terdapat juga penduduk di Pasir Ris yang mendapat kunci flat mereka pada 1987.

"Saya tahu ramai penduduk HDB di flat-flat yang lebih muda ini juga mengharapkan kerja-kerja naik taraf," katanya.

Program peluasan itu akan merangkumi flat-flat yang dibina antara 1987 hingga 1997, tambah PM Lee.

"Selepas naik taraf, flat-flat itu boleh bertahan lagi 30 hingga 40 tahun. Pada masa itu, flat-flat itu akan mencecah usia 60 hingga 70 tahun dan saya menjangkakan ia akan menunjukkan tanda-tanda bertambah tua," kongsi beliau.

Bagi memastikan perumahan awam Singapura tidak "menjadi bertambah teruk", HDB akan menaik taraf flat-flat lebih tua buat kali kedua apabila mencecah 60 hingga 70 tahun di bawah skim HIP II.

Ini akan bermula sekitar lagi 10 tahun apabila flat-flat pertama mencecah usia 60 hingga 70 tahun.

"HIP II akan memastikan flat-flat selamat dan dapat terus didiami selain membantu mengekalkan nilai walaupun tempoh pajakan menghampiri tamat tempoh.

"Perkara ini akan memastikan flat-flat itu kekal teguh sehingga akhir tempoh pajakannya. Pendek kata, setiap flat HDB boleh menjangkakan kerja-kerja naik taraf sebanyak dua kali sepanjang tempoh pajakannya," kata PM Lee.

PM Lee menambah bahawa skim HIP II adalah "komitmen kewangan yang besar".

HIP yang pertama akan bernilai lebih S$4 bilion dan HIP II pula dijangka menelan belanja lebih besar kerana usia flat diramal naik seganda pada masa itu.

Namun perkara ini "wajar" dan akan dilakukan "selagi Kementerian Kewangan mempunyai dana yang diperlukan", kata PM Lee.

Sumber : CNA/RU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan