Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program Keibubapaan Wajib diperluas kepada pasangan bercerai dengan anak lebih dewasa

Program Keibubapaan Wajib (MPP) akan diperluaskan kepada pasangan bercerai yang mempunyai anak berusia bawah 21 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Program Keibubapaan Wajib diperluas kepada pasangan bercerai dengan anak lebih dewasa

Gambar fail AFP.

Diterbitkan : 09 Jan 2018 09:05PM Dikemas Kini : 09 Jan 2018 09:09PM

SINGAPURA: Program Keibubapaan Wajib (MPP) akan diperluaskan kepada pasangan bercerai yang mempunyai anak berusia bawah 21 tahun. Demikian diumumkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) hari ini (9 Jan). Lanjutan undang-undang itu dikenakan ke atas semua pasangan yang memfailkan permohonan cerai pada atau selepas 21 Januari.

MPP merupakan sesi dua jam yang dikendalikan para kaunselor dari tiga agensi: Pusat Khidmat Keluarga (FSC) HELP, Care Corner Centre for Co-parenting dan Pusat Thye Hua Kwan for Family Harmony @ Commonwealth.

Buat masa ini, semua pasangan yang bercerai dengan anak berusia bawah 14 tahun perlu menghadiri program itu jika mereka tidak menandatangani perjanjian rasmi berkaitan pelan penjagaan bersama dan isu-isu perceraian lain.

MSF menyatakan matlamat MPP adalah bagi membantu ibu bapa memahami pentingnya mengasuh anak secara bersama dan isu-isu praktikal yang timbul daripada perceraian, yang menjejas anak-anak mereka. Mereka akan mempelajari cara untuk memberi keutamaan kepada keperluan anak-anak mereka, membuat keputusan lebih bijak tentang perceraian dan isu-isu sampingan, serta mengurangkan kesan perceraian terhadap anak-anak mereka, tambah kementerian itu.

MPP diperkenalkan ketika Piagam Wanita dipinda pada 2016. Salah satu perubahan memperuntukkan pasangan bercerai dengan anak berusia bawah 21 tahun perlu menjalani MPP sebelum mereka memfailkan permohonan bercerai, kecuali kedua-dua pihak bersetuju dengan perceraian itu dan isu-isu sampingan lain.

Fasa pertama MPP bagi ibu bapa yang bercerai dengan anak bawah 14 tahun dilaksanakan pada 1 Disember 2016.

Sejak itu, sekitar 2,500 peserta sudah selesai menjalani MPP, menurut MSF. Sekurang-kurangnya 300 lagi peserta dijangka mengikuti program ini setiap tahun apabila ia diperluaskan kepada pasangan bercerai yang mempunyai anak lebih dewesa.

MSFjuga menyatakan bahawa ibu bapa yang selesai menjalani fasa pertama program itu memberi maklum balas menggalakkan.

Lebih 95 peratus mengatakan mereka lebih sedar tentang kesan perceraian terhadap anak-anak mereka dari segi kewangan, tempat tinggal dan keperluan praktikal selepas perpisahan. Peratusan yang sama juga bersetuju tentang perlunya mereka memberi keutamaan kepada keperluan anak-anak mereka, tambah kementerian itu.

"Secara keseluruhannya, kepentingan anak menjadi tumpuan utama dalam perceraian. Maka itu isi kandungan MPP akan dipertingkat dengan maklumat-maklumat yang relevan untuk memenuhi keperluan bersama ibu bapa dengan anak mreka yang lebih dewasa," kata MSF.

Ibu bapa yang dikehendaki mengikuti MPP dan tidak berbuat demikian, tidak akan dapat memfailkan perceraian atau membuat tuntutan balas untuk bercerai. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan