Images

Program Bersamamu akan diperluas; bantuan lebih menyeluruh kepada keluarga memerlukan, dedah Dr Faishal

SINGAPURA: Inisiatif Bersamamu di bawah rangka kerja M³ akan diperluaskan.

Ia akan diperluaskan untuk menarik pelibatan lebih ramai ibu bapa serta para karyawan, khususnya kaunselor.

Langkah itu diambil supaya dapat menyediakan sokongan lebih menyeluruh kepada keluarga Melayu/Islam pada setiap peringkat perkahwinan mereka.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim mengumumkan demikian semasa mengadakan sesi dialog kedua CiptaSama@M³ pada malam semalam (12 Jan).

Sesi itu bertujuan untuk mengenal pasti cara-cara yang berupaya mengukuhkan lagi institusi keluarga Melayu/Islam dalam dunia pasca COVID-19.

SOKONGAN BUKAN SETAKAT PERINGKAT AWAL ATAU FASA TERAKHIR PERKAHWINAN

Program Bersamamu buat masa ini hanya melibatkan para kadi dan naib kadi yang membimbing para mempelai sebelum mendirikan rumah tangga sehinggalah ke permulaan alam perkahwinan mereka.

6,000 pasangan juga sudah meraih manfaat daripada program itu sejak ia dilancarkan pada 2019.

Sungguhpun demikian, para peserta dialog CiptaSama@M³ semalam melahirkan keprihatinan terhadap sokongan kepada keluarga, yang menurut mereka, perlu bersifat holisitik dan disediakan pada setiap fasa.

Ini supaya mereka dapat mempertahankan mahligai yang dibina dan bukan setakat mendapatkan bantuan sebelum ke jinjang pelamin ataupun semasa hendak meneruskan dengan proses perceraian.

Lantaran itu, Dr Faishal memberi jaminan bahawa saranan itu akan diambil kira melalui peluasan program Bersamamu.

Beliau juga akur bahawa peranan ibu bapa dan para kaunselor penting dalam menguatkan lagi institusi keluarga.

"Kami akan mula memikirkannya pada malam ini juga dan tidak akan nantikan esok hari kerana saranan ini adalah sesuatu yang berguna dan kami ingin terus bekerja.

"Saya rasa Bersamamu adalah program yang baik. Jadi apa-apa yang dapat mengukuhkannya akan membawa lebih manfaat kepada masyarakat," kongsi Dr Faishal.

CABARAN LAIN DIHADAPI KELUARGA MELAYU/ISLAM

Selain itu, para peserta turut membincangkan cabaran-cabaran lain yang dihadapi keluarga Melayu/Islam semasa pandemik COVID-19.

Meskipun rata-rata mereka bersetuju bahawa keluarga Melayu/Islam berupaya menunjukkan penyesuaian yang baik serta sentiasa bermurah hati menghulurkan bantuan semasa pandemik ini, masih ada lagi jurang yang perlu dirapatkan.

Antaranya adalah jurang celik digital serta kewangan antara keluarga, kesulitan "memecahkan kitaran cabaran rentas generasi" yang dihadapi dan menghapuskan stigma "segan meminta bantuan".

Cabaran-cabaran sedemikian, menurut para peserta dialog, perlu ditangani sedang Singapura melangkah ke ekonomi yang mengutamakan teknologi dan pendigitalan.

Bagi mengatasi cabaran-cabaran itu, para peserta menyarankan beberapa usulan seperti mengubah cara pendekatan, memanfaatkan pelbagai wadah komunikasi serta memupuk sikap ingin membantu secara ikhlas dalam masyarakat secara amnya.

Dr Faishal yakin bahawa dengan peningkatan sedemikian, ia secara tidak langsung akan mengukuhkan lagi usaha pendampingan dalam masyarakat itu sendiri.

Beliau turut menggalak masyarakat supaya mengamalkan sikap "mengambil tahu dan saling peduli" supaya tiada satu pun keluarga Melayu/Islam yang terlepas daripada jaringan bantuan.

- BERITAmediacorp/ha

Top