Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program baru tawar baucar S$30 bagi mereka yang rujuk warga emas dapatkan vaksin COVID-19

Dalam usaha meningkatkan lagi kadar vaksinasi COVID-19 dalam kalangan warga emas yang belum mendaptkan suntikan mereka, mereka yang berusia 17 tahun ke atas akan menerima baucar tunai elektronik jika merujuk warga emas untuk divaksinasi di bawah satu program nasional yang baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Program baru tawar baucar S$30 bagi mereka yang rujuk warga emas dapatkan vaksin COVID-19

Seorang warga tua menerima dos suntikan vaksin COVID-19. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 14 Aug 2021 04:21PM Dikemas Kini : 14 Aug 2021 04:26PM

SINGAPURA: Dalam usaha meningkatkan lagi kadar vaksinasi COVID-19 dalam kalangan warga emas yang belum mendaptkan suntikan mereka, mereka yang berusia 17 tahun ke atas akan menerima baucar tunai elektronik jika merujuk warga emas untuk divaksinasi di bawah satu program nasional yang baru.

Di bawah program "ayuh ajak warga emas dapatkan vaksin" yang bermula pada Jumaat (13 Ogos), mereka yang berjaya merujuk seorang warga emas berusia 60 tahun ke atas untuk mendapatkan vaksinasi akan menerima baucar Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) bernilai S$30.

Jumlah tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun mereka di aplikasi mudah alih Healthy 365 oleh HPB.

Program tersebut berlangsung sehingga 30 Nov.

Baucar akan diberikan hanya setelah pihak berkuasa mengesahkan bahawa warga emas tersebut telah menerima kedua-dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty atau Moderna, menurut HPB di laman HealthHub.

Ini bermakna warga emas yang dirujuk untuk menjalani vaksinani harus menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama mereka selewat-lewatnya 30 November bagi memenuhi syarat program tersebut.

SYARAT KELAYAKAN

Warga emas mestilah berusia 60 tahun ke atas dan belum menerima sebarang dos vaksin COVID-19.

Hanya individu yang merupakan warga Singapura, penduduk tetap atau pemegang Pas Pekerjaan atau permit kerja berusia 17 tahun ke atas semasa pendaftaran layak merujuk seorang warga emas di bawah program ini.

Mereka harus mendaftar secara online dan mendapat pengesahan pendaftaran menerusi SMS sebelum warga emas yang dirujukkan menerima dos pertama mereka.

Individu yang membuat rujukan tidak boleh tergolong dalam kumpulan sukarelawan di bawah Program Duta Kesihatan HPB, dan mereka sendiri tidak perlu melengkapkan vaksinasi untuk mengambil bahagian.

Peserta boleh merujuk sehingga 10 warga emas bagi program itu. Setiap warga emas yang belum divaksinasi hanya boleh didaftarkan kepada seorang peserta.

Untuk melengkapi program dan mendapatkan baucar, mereka yang merujuk warga emas perlu juga menemani mereka ke janji temu pertama di pusat vaksinasi dan selesaikan proses pendaftaran secara sendiri.

Mereka yang selesai menguruskan proses rujukan berkenaan akan menerima baucar dua minggu setelah warga emas menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.

Baucar itu akan dikreditkan di bahagian "ganjaran" dalam aplikasi Healthy 365 dan sah untuk tempoh 90 hari.

Baucar elektronik HPB boleh digunakan di pelbagai perniagaan termasuk tempat makan, peruncit gaya hidup dan pasar-pasar raya.

Baucar berganda boleh digabungkan bagi satu urus niaga di peniaga yang mengambil bahagian.

84% WARGA EMAS LENGKAP DIVAKSIN, LEBIH 115,000 BELUM LAGI

Setakat Khamis, 84 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas telah selesai menjalani rejimen vaksinasi penuh mereka dan 89 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa lebih 115,000 warga emas masih belum divaksinasi.

HPB menekankan bahawa adalah penting bagi warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana mereka paling mudah terdedah kepada COVID-19 dan berisiko lebih tinggi mengalami penyakit serius jika dijangkiti.

"Sebilangan orang tua ragu-ragu mengenai vaksinasi kerana mereka mungkin tidak faham pentingnya dan manfaat vaksinasi atau mempunyai kebimbangan berhubung vaksinasi," katanya.

"Ayuh kita galak warga emas kita untuk dapatkan vaksin dan beri mereka sokongan yang diperlukan."

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan