Images
  • CPRO
    Cik Grace Fu (empat dari kanan) bersama pemimpin agama di majlis pelancaran CPRO. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Program baru dilancarkan demi persiap pertubuhan agama hadapi ancaman pengganasan

SINGAPURA: Pertubuhan-pertubuhan agama (RO) boleh bersiap siaga untuk berdepan dengan ancaman-ancaman pengganasan di bawah satu program baru yang mempertingkat keupayaan mereka untuk melindungi premis dan para pengikut agama tersebut serta membantu orang lain semasa berlaku satu-satu krisis.

Program Kesediaan Krisis bagi Pertubuhan-Pertubuhan Keagamaan yang dilancarkan hari ini (14 Jan), bertujuan meningkatkan tahap kesedaran terhadap sebarang ancaman pengganasan. Ia membentuk pemikiran yang sentiasa bersedia untuk berdepan krisis dan mempertingkat langkah-langkah keselamatan.

Program itu adalah inisiatif yang dikendalikan di bawah Rangkaian Masyarakat SGSecure Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) untuk memastikan RO bersedia untuk menghadapi krisis.

Menteri MCCY, Grace Fu, berkata pengganas-pengganas di merata dunia pernah melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat yang dilihat sebagai sasaran "mudah dan lemah" dan ini membolehkan mereka menyebabkan "kecederaan dan kerosakan".

Pada bulan Mac tahun lalu, seorang lelaki berusia 29 tahun, bertubi-tubi melepaskan tembakan dalam serangan ke atas dua buah masjid di New Zealand, mengorbankan 51 orang. Serangan itu disifatkan sebagai paling dahsyat yang pernah berlaku di negara itu.

Suspeknya kini berdepan pelbagai tuduhan termasuk tuduhan bunuh dan pengganasan.

"Serangan-serangan sedemikian dengan mudah boleh mencetuskan kebencian dan konflik serta menyebabkan permusuhan antara agama-agama dan bangsa berlainan," tegas Cik Fu di Seminar Antipengganasan bagi RO yang dihadiri lebih 200 pertubuhan hari ini.

"Oleh itu, RO mesti terus berwaspada terhadap sebarang ancaman pengganasan, bersedia untuk bertindak apabila berlaku krisis dan membantu masyarakat kekal berdaya tahan dengan menyediakan sokongan fizikal serta kerohanian semasa krisis."

SENARAI SEMAKAN & LATIHAN

Menurut MCCY sebanyak 100 RO dijangka selesai mengikuti program CPRO menjelang hujung tahun 2020.

Penyertaan adalah percuma, dengan tempohnya bergantung kepada jumlah peserta dari setiap RO serta tahap kesediaannya untuk berdepan krisis. Sejauh ini terdapat sebanyak 800 RO di Singapura.

Di bawah program itu, RO akan menjalani senarai semakan penilaian diri terlebih dahulu untuk menilai tahap kesediaan mereka dan mengenal pasti jurang-jurang yang terdapat dalam bidang-bidang seperti respons kecemasan, perancangan pelan luar jangkaan dan kemahiran-kemahiran relevan yang diperlukan dalam sesuatu krisis.

Mereka boleh mengikuti sehingga sembilan modul untuk melatih anggota dalam perancangan krisis luar jangkaan, respons kecemasan seperti penggunaan alat bantuan kecemasan yang dipertingkat dan alat defibrilator luaran automatik (AED), dan daya tahan psikologi seperti sokongan pengantaraan dan kesejahteraan mental.

Kemudian, RO akan mengambil bahagian dalam latihan-latihan berdasarkan senario bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan lain dalam kawasan mereka untuk menguji keupayaan mereka memberi respons terhadap krisis, mengesahkan perancangan mereka serta memastikan kakitangan dan pengikut mereka turut bersedia.

Cik Fu berkata, selain para pemimpin agama, para penganut juga perlu ikut serta dalam latihan tersebut untuk memastikan RO bersedia sepenuhnya.

"CPRO akan melatih para pengikut satu-satu agama dari segi kemahiran mereka bertindak balas dalam kecemasan demi menyokong RO dan masyarakat secara am," kata beliau, sambil menambah para pemimpin perlu menggalak para pengikut agama untuk menghadiri latihan asas bantuan pernafasan dan AED.

"Mereka juga boleh mendaftar untuk mengikuti program-program daya tahan psikologi serta kesejahteraan mental dan pengantaraan (mediation)."

RO yang sudah selesai mengikuti program itu akan menerima sijil daripada MCCY dan digalakkan menjadi penyokong serta membantu RO lain yang mahu mengikuti program tersebut.

PERTUBUHAN AGAMA, AGENSI KESELAMATAN BANTU BANGUNKAN PROGRAM

Bagi membangunkan program itu, MCCY menyatakan ia bekerjasama dengan para wakil daripada lebih 30 RO untuk mengenal pasti keperluan mereka dalam krisis, membangunkan prototaip program dan mengumpulkan maklum balas mereka.

MCCY juga bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan dan masyarakat seperti polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura untuk membangunkan modul-modul latihan.

Pada bulan November lalu, dua agensi menjalankan latihan antipengganasan di Masjid Sultan. Ia adalah kali pertama latihan sedemikian dijalankan di sebuah rumah ibadat.

Mengulas penyertaan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam inisiatif RO itu, Ketua Pejabat Perancangan Masjid MUIS Encik Yacob Ahmad berkata:

"Bagi pihak MUIS dan masjid, pentingnya kita meningkatkan persiapan kecemasan supaya dapat menjaga maslahat masyarakat umum dan ia menjadi satu wadah bagi kami untuk bersiap sedia menghadapi keadaan yang tidak menentu dan yang membahayakan masyarakat kami, terutamanya di masjid."

Program CPRO itu pertama kali diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) pada bulan Mac lalu, apabila Cik Fu menggesa RO supaya menyertai skim baru pentauliahan yang disasarkan untuk mempersiap rumah-rumah ibadat jika berlaku krisis.

"Menerusi CPRO, masyarakat kita akan lebih bersedia untuk bertindak dan saling berkerjasama bagi menyokong antara satu sama lain agar berdaya tahan sekiranya berlaku krisis," tambah Cik Fu hari ini.

"Hanya menerusi cara ini kita boleh terus bersatu dan tidak membiarkan pengganasan memecahbelahkan perpaduan kita."

LEBIH BANYAK PERTUBUHAN AGAMA KOMITED LINDUNGI KEHARMONIAN

Cik Fu juga memberikan maklumat terkini tentang Komitmen untuk Melindungi Kehamonian Agama di Singapura, yang mana pada bulan Jun lalu para pemimpin agama mengesahkan bahawa "mereka menolak bulat-bulat" ideologi-ideologi pelampau dan eksklusif.

Cik Fu berkata lagi 250 RO dan pertubuhan masyarakat sudahpun mengesahkan komitmen mereka sejak ia dilancarkan, sekali gus menggandakan jumlahnya kepada lebih 500 RO.

"Ini adalah tanda menggalakkan bahawa kita bersama-sama mengakui pentingnya sebuah masyarakat yang bersatu padu," kata beliau.

"Dengan mengesahkan komitmen mereka, RO berikrar memberikan sokongan kepada budaya saling bertimbang rasa dan mengekalkan perpaduan apabila berlaku krisis," tambah Cik Fu. 

- CNA/NK/nk

Top