Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Program baru dilancar bantu firma berpotensi tempatan luaskan sayap

Satu program baru yang bertujuan membantu syarikat berpotensi tumbuh pantas dilancarkan oleh Enterprise Singapore pada Rabu (10 Jul), dengan 25 syarikat termasuk Jumbo Group dan Koufu menjadi sebahagian kumpulan perintis program itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Program baru dilancar bantu firma berpotensi tempatan luaskan sayap

Menteri Chan Chun Sing di pelancaran program SG Maju (Gambar: Enterprise Singapore)

Diterbitkan : 10 Jul 2019 07:27PM Dikemas Kini : 10 Jul 2019 07:33PM

SINGAPURA: Satu program baru yang bertujuan membantu syarikat berpotensi tumbuh pantas dilancarkan oleh Enterprise Singapore pada Rabu (10 Jul), dengan 25 syarikat termasuk Jumbo Group dan Koufu menjadi sebahagian kumpulan perintis program itu.

Diumumkan buat pertama kali semasa Belanjawan 2019, program SG Maju (Scale-up SG) bermatlamat membantu syarikat dengan ciri-ciri seperti rekod baik, keupayaan menjana keluaran sampingan ekonomi bagi Singapura dan cita-cita pertumbuhan pesat, membangun menjadi "juara-juara global". Demikian menurut agensi mempromosi perdagangan yang menerajui program baru itu.

Sepanjang dua setengah tahun mendatang, 25 syarikat akan menlalui tiga fasa yang bertujuan membantu mereka mengatur strategi dan melaksanakan rancangan pemesatan. Ini termasuk kegiatan seperti program niaga eksekutif di institusi unggul pengajian tinggi, sesi rangkaian dan perkongsian industri.

Enterprise Singapore akan bekerja dengan rakan kerjasama dari bidang awam dan privet. Bagi pusingan pertama, firma-firma runding cara McKinsey & Company dan PwC Singapore dipilih sebagai rakan utama.

Rakan kerjasama wajar yang lain, seperti pakar industri yang relevan atau agensi-agensi seperti Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura (IPOS) dan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) akan dilibatkan jika perlu.

Berucap di majlis pelancarannya, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing menyifatkan daya usaha baru itu sebagai pendekatan yang "amat tertumpu" untuk membantu syarikat-syarikat yang disifatkan beliau sebagai "teras".

Ini meliputi syarikat-syarikat kecil dan sederhana dengan pendapatan antara puluhan juta hingga ratusan juta dolar atau lebih. Demi memastikan Singapura dapat kekal maju dalam fasa seterusnya pembangunan ekonomi, kumpulan perusahaan ini perlu diperkukuh, kata Encik Chan.

"(Ini adalah) sebuah program yang amat tertumpu di mana kita dapat menyalurkan sumber untuk membantu syarikat-syarikat teras berkembang dan memperkukuh diri, agar satu hari mereka juga dapat bersaing dengan syarikat-syarikat terbaik dalam industri masing-masing di persada global."

Tambah Encik Chan, apabila syarikat-syarikat sebegini semakin berkembang, lebih banyak pekerjaan akan dijana bagi warga Singapura.

Bagi pusingan pertama, syarikat-syarikat terpilih mempunyai pendapatan sekitar S$10 juta hingga menjangkaui S$300 juta dari kelompok industri seperti gaya hidup dan pembeli serta perdagangan dan keterhubungan, menurut pengerusi Enterprise Singapore Peter Ong.

Enterprise Singapore bermatlamat menganjurkan d ua hingga tiga pusingan program SG Maju setiap tahun, dengan setiap pusingan melibatkan 20 hingga 30 perniagaan. Ia dijangka kekal terbuka hanya kepada syarikat-syarikat yang terpilih, berdasarkan cita-cita dan unjuran pertumbuhan masing-masing.

Namun para peniaga dialu-alukan untuk menyuarakan minat mereka bagi program ini, di mana agensi tersebut akan menampung sehingga 70 peratus kos penyertaan. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan