Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program Bahasa & Sastera Melayu SUSS rai ulang tahun ke-10

Sejak diperkenalkan pada 2009, program sambilan di SUSS itu berjaya menghasilkan lebih 200 siswazah. Ini menjadi salah satu pencapaian yang diraikan hari ini (20 Sep) sempena ulang tahun ke-10 program sambilan itu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pada peringkat sarjana muda dalam bidang Bahasa dan Sastera Melayu.

Maka itu, tidak hairanlah, Program Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa Melayu (BAML) yang ditawarkan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) sering kali menjadi antara pilihan pencinta bahasa dan sastera Melayu.

Sejak diperkenalkan pada 2009, program sambilan di SUSS itu berjaya menghasilkan lebih 200 siswazah. Ini menjadi salah satu pencapaian yang diraikan hari ini (20 Sep) sempena ulang tahun ke-10 program sambilan itu.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang hadir di acara sambutannya turut memuji kemajuan di bawah program tersebut, termasuk tentang bagaimana ia begitu fleksibel dan sesuai bagi mahasiswa yang masih bekerja.

Ini di samping usaha mereka membuka peluang kepada para mahasiswa SUSS untuk mempelajari Bahasa Melayu agar dapat berdaya saing dan menembusi pasaran di rantau ini.

"Program ini berkembang dan menjadi begitu fleksibel. Kebanyakan program SUSS dijalankan secara digital. Bagi BAML sahaja, lebih 50 peratus kursus ditawarkan secara online bagi membolehkan pembelajaran di mana sahaja. Ini memenuhi tuntutan pembelajaran masa depan," kata Dr Faishal.

KURSUS PENTERJEMAHAN INTERAKTIF DALAM MAKMAL

BAML merupakan satu-satunya program yang menawarkan kursus penterjemahan dan kejurubahasaan dalam Bahasa Melayu. Menariknya, kursus kejurubahasaan mereka dijalankan dalam sebuah makmal.

Di dalam kemudahan itu, setiap mahasiswa masing-masing akan mendapat bilik di mana mereka dapat melakukan penterjemahan secara spontan dalam satu latihan interaktif.

Mereka boleh menonton video, memberi jawapan dan langsung mendapat maklum balas pensyarah.

"Ia merupakan suatu modul yang bukan hanya saya tetapi rakan sekelas semua amat suka dan kami akan pastikan kami akan ke kelas intepretasi yang diadakan itu kerana apa yang saya tahu, peluang ini tidak diberikan di universiti yang lain," kata Nor Azlin Abdul Aziz yang kini mengikuti semester terakhirnya. 

BEGITU FLEKSIBEL, BERI PENDEDAHAN MELUAS

Bagi Azlin, kurikulum fleksibel di bawah program sambilan di SUSS juga sesuai baginya, yang perlu mengimbangi masa sebagai seorang guru dan ibu muda.

Pendekatan pembelajaran elektronik (e-learning) ditawarkan bagi separuh kursus BAML yang wajib diambil. Bagi kursus-kursus seumpama itu, mahasiswa hanya perlu hadir ke kelas sebanyak tiga kali dalam tempoh enam minggu.

Meskipun demikian, banyak lagi yang sedang diusahakan bagi menarik lebih ramai mahasiswa mengikuti program tersebut.

Profesor Madya Lim Beng Soon adalah Ketua Program Bahasa Melayu, Sekolah Ilmu Kemanusiaan dan Sains Tingkah Laku, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

"Kami sedang merombak dan berusaha membuat kurikulum menjadi lebih fleksibel supaya pelajar juga dapat pengkhususan dalam Bahasa Melayu dan buat minor dalam bidang lain," jelas Ketua Program Bahasa Melayu SUSS, Dr Lim Beng Soon.

Beliau berharap, usaha itu juga akan dapat menarik minat mahasiswa dari pelbagai latar belakang. Ini mentelah lagi, tidak semua mahasiswanya kini merupakan pendidik. Kian ramai yang menceburi bidang lain turut mengikuti program tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan