Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prof Tommy Koh: Jangan biarkan 'politik agama' cemari S'pura

Dalam dunia kontemporari, malangnya sesetengah ahli politik mempergunakan agama untuk mencetuskan keadaan huru-hara baik di dalam mahupun luar negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam dunia kontemporari, malangnya sesetengah ahli politik mempergunakan agama untuk mencetuskan keadaan huru-hara baik di dalam mahupun luar negara.

Maka itu Singapura, yang berpegang teguh kepada prinsip yang tidak mahu mencampuradukkan politik dengan agama, perlu memastikan agar konflik seumpama itu tidak akan membawa negara ini ke ambang kemusnahan.

Demikian pengamatan Duta Kelana Kementerian Ehwal Luar (MFA) Profesor Tommy Koh semasa Ceramah Memperingati Prof Syed Hussein Alatas - pemikir dan cendekiawan ulung yang bertekad memperjuangkan ideologi berbilang budaya - di Perpustakaan Negara pada Selasa (17 Sep).

Siri ceramah yang diadakan secara tahunan itu dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Melayu NUS.

PEMIKIRAN PROF ALATAS MASIH RELEVAN DALAM KONTEKS ANTARABANGSA

Meskipun sudah 12 tahun Prof Syed Hussein Alatas berpulang, namun kajian pasca penjajahan Allahyarham dalam menangkis mitos pribumi malas, ideologi berbilang budaya dan penentangannya terhadap gejala dan budaya rasuah masih utuh berdiri mewarnai dunia kesarjanaan dan akademik.

Bukan hanya penulisannya, langkah berani Prof Alatas pada 1968 untuk menubuhkan Parti Gerakan yang memperjuangkan prinsip negara berbilang kaum dan budaya serta menolak politik berunsur kaum, juga dipuji dan disanjungi Profesor Koh.

Sehingga ke hari ini, 'suara lantang' dan pemikiran bernas Allahyarham Syed Hussein Alatas kekal relevan dalam konteks masyarakat setempat mahupun di peringkat antarabangsa.

Antaranya termasuk tentang bahaya memperalatkan agama, di mana dunia menyaksikannya berlaku terhadap agama Katolik, Hindu, Buddha dan Islam di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Sri Lanka, Myanmar dan negara-negara Timur Tengah.

AGAMA ISLAM TURUT DIPOLITIKKAN

Mengulas tentang kecenderungan sedemikian, Profesor Koh berkata, ini jelas dilakukan sesetengah ahli politik bagi menyerlahkan agenda politik masing-masing, yang akhirnya mengakibatkan kekacauan besar. Agama Islam tidak terkecuali.

"Trend masa kini lebih menjurus kepada konservatisme. Penganut Islam di Asia Tenggara kini lebih konservatif berbanding 50 tahun lalu. Dan pengaraban (arabization) Islam kian membuak-buak di Asia Tenggara," kata Profesor Koh, yang juga Profesor Undang-Undang NUS, ketika berkongsi pengamatannya.

Ia menjadi lebih runcing dengan percanggahan pengaruh Sunni-Syiah melibatkan Arab Saudi dan Iran di pentas global.

Meskipun demikian, Profesor Koh percaya, Singapura terselamat daripada konflik ideologi sedemikian kerana pemerintahnya berpegang teguh kepada prinsip tidak mencampuradukkan politik dan agama, di samping melindungi kerencaman budaya di sini.

JANGAN BIARKAN INI CEMARKAN S'PURA

"Malangnya ini berlaku di merata dunia dan saya berharap ia tidak akan mencemarkan keadaan di Singapura.

"Sekurang-kurangnya di Singapura, kita boleh bersyukur kerana penganut Syiah dibenarkan mempunyai tempat ibadah mereka sendiri. Dan mereka tidak dianggap sebagai kafir tetapi penganut yang baik," jelasnya lagi.

Profesor Koh menambah, prinsip berbilang budaya seperti yang diperjuangkan Allahyarham Syed Hussein Alatas, sememangnya sangat penting dan beliau percaya, pengiktirafan buat tokoh ulung seperti Allahyarham memang wajar.

Tiga isu lain yang turut dibangkitkan semasa ceramah sempena memperingati warisan dan ketokohan Allahyarham termasuk usaha tegarnya dalam membanteras rasuah, perspektif tentang peranan Sir Stamford Raffles dalam pembangunan Singapura serta mitos penduduk terawal di rantau ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan