Images
  • nus (1)
    Sebagai sebahagian daripada protokol COVID-19 oleh NUS, semua kawasan yang dilawati anggota fakulti itu sudahpun dibersihkan secara teliti. (Gambar: NUS)

Prof NUS dijangkiti virus COVID-19 'tidak berhubung rapat dengan siswa baru-baru ini'

SINGAPURA: Salah seorang profesor di Universiti Nasional Singapura (NUS) telah dijangkiti virus korona COVID-19 tetapi tidak berhubung rapat dengan para siswa baru-baru ini, menurut universiti itu pada Khamis (13 Feb).

Profesor dari Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran itu kali terakhir berhubung rapat dengan para siswa pada 5 Februari, kongsi NUS.

"Kakitangan yang berada berdekatan dengan profesor itu dengan segera diberikan cuti ketidakhadiran dan kami sedang menghulurkan mereka bantuan dan sokongan."

NUS menambah bahawa ia dengan segera meningkatkan usaha pembersihan dan langkah-langkah berjaga-jaga. Ia akan melaksanakan e-pembelajaran bagi semua kuliah di Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran dari 14 hingga 21 Februari sehingga minggu rehat dari 22 Februari hingga 1 Mac.

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis menyatakan terdapat lapan lagi kes yang disahkan jangkitan COVID-19. Salah seorangnya adalah lelaki berusia 54 tahun yang bertugas di NUS dan beliau ada kaitan dengan kelompok jangkitan di gereja Grace Assembly of God. Beliau dikenal pasti sebagai Kes 53.

Rakyat Singapura itu, yang tidak ke China baru-baru ini, kini sedang ditempatkan di bilik pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Dalam satu surat pesanan kepada para anggota kakitangan dan siswa yang diberikan kepada media oleh universiti itu, Presiden NUS Tan Eng Chye memberikan lebih banyak butiran mengenai kes profesor yang dijangkiti COVID-19 itu.

Pada 10 Februari, profesor itu mengisytiharkan suhu badannya seperti yang diperlukan NUS. Pada ketika itu beliau sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Beliau menghadiri mesyuarat bersama rakan-rakan sekerja di Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran dan kemudian langsung pulang ke rumah pada sebelah petang.

Profesor itu kemudian mengalami simptom-simptom pada malam hari tersebut.

Mereka yang berhubungan rapat dengan beliau kini menjalani cuti ketidakhadiran wajib selama 14-hari. Kesemuanya sihat dan tidak menunjukkan sebaran simptom, kata Prof Tan.

Setelah menerima pengesahan bahawa profesor berkenaan dijangkiti COVID-19, NUS membasmi kuman di kawasan-kawasan yang sudah digunakan atau dikunjungi beliau di Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran pada 10 Februari.

Ini termasuk semua kawasan yang dilalui ramai orang seperti lif, lobi lif dan permukaan yang biasa disentuh seperti susur tangan.

Prof Tan menambah profesor itu dalam keadaan stabil dan menunjukkan semangat yang baik.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- TODAYonline/FZ/fz

Top