Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prof Esposito: Pluralisme agama cabaran terbesar abad ke-21

Kebangkitan Islam yang bersifat eksklusif 40 tahun dahulu memberi kesan terhadap perpaduan masyarakat sehingga hari ini.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kebangkitan Islam yang bersifat eksklusif 40 tahun dahulu memberi kesan terhadap perpaduan masyarakat sehingga hari ini.

Lantaran itu, tokoh sarjana Islam, Profesor John Esposito mengusulkan konsep 'Islam Kosmopolitan' untuk diterapkan sebagai salah satu daripada solusi untuk membina masyarakat yang plural pada hari ini dan masa akan datang.

Professor Esposito, yang kini berada di Singapura, berkongsi demikian semasa ceramah umum anjuran RSIS-NTU, semalam (10 Jul).

PLURALISME MASALAH ABAD KE-21

Profesor Esposito berkata, cabaran utama pada abad ke-21 ini adalah kesusahan atau kegagalan untuk mendapatkan masyarakat daripada pelbagai agama, hidup dan menjalinkan persefahaman yang utuh antara satu sama lain disebabkan faktor agama itu sendiri.

Keadaan ini disifatkan Profesor Esposito sebagai isu pluralisme dalam agama.

Perkara ini diburukkan lagi dengan politik di arena global dan rantau Asia, yang menggunakan agama sebagai alat untuk mengutarakan agenda dan propaganda tertentu, sehinggakan terkadang terbentuk aliran dan parti politik yang memperjuangkan ekstremisme dan fundamentalisme.

Contohnya, bagaimana kumpulan Wahabi membawa bentuk Islam yang bersifat eksklusif, manakala kumpulan militan seperti ISIS pula, memecah belahkan masyarakat global dengan ‘perjuangan Islam’ yang berbentuk radikal.

"Golongan fundamentalis berada dalam keadaan di mana mereka bukan sahaja melaksanakan, malah memaksa orang lain untuk mengikuti cara mereka.

"Maka itu, mereka melihat kepada Muslim yang lain sebagai Muslim yang tidak baik, atau mereka digelar 'kuffar', dan ini boleh membawa kepada pelbagai aliran fahaman," kongsi Profesor Esposito yang turut memegang jawatan sebagai seorang Profesor di Universiti Georgetown.

ISLAM KOSMOPOLITAN

Namun begitu, Profesor Esposito berpendapat faktor agama itu sendiri mampu menghuraikan masalah pluralisme ini.

Misalnya, keadaan plural yang diidamkan dapat dicapai apabila masyarakat Muslim sendiri menjalankan tanggungjawab dalam dunia kosmopolitan, namun tetap berpegang kepada nilai-nilai Islam.

Profesor Esposito melihat ini sebagai 'kosmopolitan Islam'.

"Kosmopolitan Islam ialah Islam yang berbicara kepada dunia yang kita tinggal, jika anda pergi ke Singapura, fikirkan bagaimana kosmopolitan adalah infrastrukturnya, dalam pendekatan yang berbeza dalam kepelbagaian, yang melihat kepelbagaian yang boleh menjadi kekuatan," kata beliau lagi.

Antara langkah pertama untuk memupuk sifat plural yang ideal tegas beliau adalah menerusi pendidikan awal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan