Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Produk pelangsing ini didapati kandungi bahan terlarang, julap

Produk yang dipasarkan dengan dakwaan ia berupaya menurunkan berat badan didapati mengandungi "ramuan kuat" yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (25 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Produk yang dipasarkan dengan dakwaan ia berupaya menurunkan berat badan didapati mengandungi "ramuan kuat" yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (25 Nov).

Orang ramai diberi amaran supaya jangan membeli atau menggunakan Queenz Mango Xsliim Botanical Beverage Mix Mango Powder with Garcinia Cambogia & Aloe Vera Extract, setelah ujian menunjukkan bahawa ia mengandungi sibutramina, iaitu bahan terlarang dan sennosida, iaitu sejenis julap.

Produk berkenaan dijual melalui wadah e-dagang tempatan seperti Carousell, Lazada, Shopee dan Qoo10 serta menerusi laman media sosial seperti Facebook, menurut HSA.

SAKIT DADA, DEGUPAN JANTUNG LEBIH PANTAS

HSA menyatakan ia menerima maklum balas daripada dua pengguna yang mengalami ketidakselesaan pada bahagian dada, degupan jantung yang meningkat lebih pantas dan mulut kering setelah menggunakan produk itu.

Produk itu dipasarkan dengan dakwaan bahawa ia boleh menurunkan berat badan dengan pantas tanpa perlu bersenam atau mengawal pemakanan.

"Ia turut mengelirukan pengguna dengan dakwaan seperti ia adalah ubat pelangsing yang "sihat dan alami" yang mengandungi bahan ekstrak buah-buahan dan botani untuk "detoksifikasi badan" dan "pengurusan berat badan untuk memberi manfaat kepada tubuh".

"Ini bercanggah dengan hasil ujian HSA yang mengesan bahan-bahan memudaratkan dalam ramuan produk itu," menurut HSA.

PENGGUNA HARUS BERHENTI GUNA PRODUK, JUMPA DOKTOR JIKA TIDAK SIHAT

Para pengguna dinasihatkan supaya berhenti menggunakan produk itu dengan serta-merta dan berjumpa doktor jika mereka berasa tidak sihat atau bimbang akan keadaan kesihatan mereka.

HSA juga menasihatkan mereka supaya berwaspada terhadap produk-produk yang membuat dakwaan yang keterlaluan bahawa ia dapat membantu menurunkan berat badan tanpa perlu bersenam atau mengawal pemakanan, atau memberikan hasil dengan segera.

"Ia mungkin mengandungi bahan-bahan memudaratkan yang boleh menjejas kesihatan anda.

"Jangan terpedaya dengan ulasan produk online kerana ulasan sedemikian biasanya tidak dapat disahkan," menurut HSA.

Pentadbir laman web masing-masing diarahkan supaya menurunkan senarai produk yang terjejas dan amaran turut dikeluarkan terhadap para penjual, menurut pihak berkuasa.

"Kesemua penjual dan pembekal mesti menghentikan penjualan 'Queenz Mango Xsliim' dengan serta-merta.

"HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa yang menjual dan membekalkan produk-produk yang didapati mengandungi bahan terlarang atau yang memudaratkan," menurut kenyataan tersebut. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan