Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Produk 48 syarikat tempatan akan miliki tanda jenama 'Made with Passion'

Produk-produk yang dihasilkan oleh 48 syarikat tempatan akan mempunyai tanda jenama 'Made with Passion'.  

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Nov 2020 09:13PM Dikemas Kini : 21 Nov 2020 12:06AM

SINGAPURA: Produk-produk yang dihasilkan oleh 48 syarikat tempatan akan mempunyai tanda jenama 'Made with Passion'.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan jenama-jenama tempatan kepada lebih ramai orang.

Produk-produk itu termasuk makanan yang sudah dibungkus, hiasan rumah dan produk kesejahteraan.

Pelbagai jenama sudah dipilih untuk menyertai kempen pemasaran nasional itu, sama ada yang ikonik mahupun jenama baru.

Sebuah syarikat yang menyertai inisiatif tersebut menyatakan, langkah itu akan membantu memperkenalkan produk-produk keluaran tempatan kepada orang ramai.

"Menerusi pengalaman saya berinteraksi dengan pelanggan, ramai daripada mereka tidak tahu bahawa produk ini (Hysses) adalah buatan Singapura. Kami bangga mahu ia dikenali (sebagai buatan Singapura).

"Dalam industri ini walaupun ada banyak jenama Singapura yang datang dan pergi, bukan mudah sebenarnya untuk membangunkan produk dan menghasilkan produk-produk ini di sini," kata Cik Cheryl Gan, Pengarah Urusan Hysses yang menjual pati wangi-wangian.

Ia juga akan memberi rangsangan kepada syarikat-syarikat tempatan yang kini menghadapi kos perniagaan tinggi serta persaingan sengit daripada para pemain global.

Menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB), pihaknya sedang bekerjasama dengan persatuan-persatuan perdagangan untuk menyokong lebih banyak jenama.

STB juga sedang mendampingi pelbagai wadah pengedaran seperti pasar raya dan lelaman e-niaga supaya menjual produk-produk tersebut.

Penolong Ketua Eksekutif (Kumpulan Pemasaran) Lembaga Pelancongan Singapura, Lynette Pang, berkata:

"Kami mahu meningkatkan kesedaran dan menjadikan jenama-jenama tempatan ini lebih ketara kerana ia merupakan jenama-jenama Singapura yang baik.

"Dalam masa-masa sukar ini, kami mahu melihat bagaimana kami dapat membantu perniagaan tempatan mencapai pelanggan baru untuk menjana permintaan bagi produk mereka." 

Sumber : CNA/AI/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan