Images
  • sg nasi lemak
    Justin Lee Han Shi. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

Probesyen bagi anggota kumpulan sembang Telegram SG Nasi Lemak yang milki 462 filem lucah

SINGAPURA: Seorang anggota kumpulan sembang Telegram "bertemakan seks" SG Nasi Lemak dikenakan probesyen setahun pada Jumaat (16 Okt) kerana memiliki 462 filem lucah, dengan dua lagi tuduhan turut diambil kira.

Justin Lee Han Shi, 20, perlu berada di dalam rumah dari pukul 11.00 malam hingga 6.00 pagi setiap hari dan melakukan khidmat masyarakat selama 40 jam. Ibu bapanya membayar ikat jamin S$5,000 untuk memastikan kelakuan baiknya.

Satu laporan mendapati bahawa Lee layak untuk probesyen dan pihak pendakwa berkata dia tidak menolaknya.

Hakim itu mengingatkan Lee bahawa sekiranya dia melakukan satu lagi kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman lagi untuk kes ini.

Lee mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki filem-filem lucah, dengan dua lagi tuduhan memiliki alat-alat mengandungi 556 gambar tidak senonoh dan mengirimkan bahan lucah kepada kumpulan Telegram SG Nasi Lemak juga diambil kira.

Pihak polis telah menerima maklumat pada Mac tahun lalu mengenai bahan-bahan lucah yang diedarkan di aplikasi pesanan Telegram.

Kumpulan sembang SG Nasi Lemak dipercayai memilki lebih 44,000 anggota pada satu ketika dan memaparkan gambar dan video tidak senonoh para wanita. Ia mendapat perhatian ramai setelah beberapa wanita mendapat tahu tentang gambar-gambar mereka yang diedarkan di kumpulan sembang tersebut.

Atas kesalahan memiliki filem-filem lucah, Lee boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$20,000, atau kedua-duanya.

Lee ialah orang pertama daripada empat lelaki yang didakwa atas kes itu. Para individu lain adalah pentadbir kumpulan sembang itu, Leonard Teo Min Xuan, 27, dan Liong Tianwei, 38.

Tertuduh keempat ialah remaja berusia 18 tahun yang namanya tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana dia berusia bawah 18 tahun semasa kesalahan dilakukan. Kes-kes bagi tertuduh yang lain masih menanti untuk dibicarakan.

- CNA/NA/na

Top