Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden NUS minta maaf kepada alumni atas kendalian kes Monica Baey

Presiden Universiti Nasional Singapura (NUS) memohon maaf kepada para alumni universiti itu pada Selasa (23 Apr) atas cara kes salah laku seksual dikendalikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden NUS minta maaf kepada alumni atas kendalian kes Monica Baey

Gambar fail NUS.

Diterbitkan : 24 Apr 2019 10:05AM Dikemas Kini : 24 Apr 2019 11:25AM

SINGAPURA: Presiden Universiti Nasional Singapura (NUS) memohon maaf kepada para alumni universiti itu pada Selasa (23 Apr) atas cara kes salah laku seksual dikendalikan. Ini setelah seorang mahasiswi berkongsi di media sosial menggesa tindakan lebih tegas diambil ke atas seorang mahasiswa yang merakam beliau sedang mandi di asramanya.

Permohonan maaf tersebut dibuat selepas mahasiswi NUS, Cik Monica Baey, mendedahkan secara terbuka di 'Instagram Stories' pada Jumaat (19 Apr) bahawa beliau ternampak seorang mahasiswa merakamnya sedang mandi di bilik air asrama berkenaan dengan menggunakan telefon bimbit pada November tahun lalu. Lelaki itu diberikan amaran bersyarat 12 bulan oleh polis.

'Instagram Stories' Cik Baey menerima ribuan tontonan, sekaligus mencetuskan sekurang-kurangnya dua petisyen online. Salah satunya mendapat lebih 33,000 tandatangan yang menuntut "hukuman lebih berat" ke atas pelaku.

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung turut menyentuh tentang isu tersebut, menyifatkan hukuman yang dikenakan oleh NUS ke atas pesalah itu "nyata sekali tidak setimpal".

"Kami kesali bahawa beliau terpaksa mengemukakan keprihatinannya di media sosial supaya dapat menerima perhatian pihak Universiti," kata Presiden NUS Tan Eng Chye dalam suratnya.

"Kami gagal menyediakan sokongan kepada beliau dari awal dan kami meminta maaf. Kami berharap dapat memperbetulkan keadaan," tulis beliau.

Profesor Tan menambah NUS "tidak membenarkan atau tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku seksual" di kampusnya dan ia akan mengambil "pendirian tegas terhadap tingkah laku yang tidak dapat diterima" bagi memastikan mahasiswanya selamat.

Sabtu lalu, NUS menyatakan ia akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak rangka kerja disiplin dan sokongan sedia ada.

Dalam catatan di 'Instagram Stories', Cik Baey berkata apabila diberitahu bahawa tertuduh menerima amaran, beliau cuba memohon agar hukuman lebih berat dikenakan terhadapnya. Bagaimanpan, Cik Baey diberitahu oleh seorang pegawai siasatan bahawa beliau "hanya perlu menerima keputusan" atau "pergi ke NUS dan menggesa agar tindakan diambil".

Setelah melalui proses disiplin NUS, mahasiswa berkenaan digantung daripada universiti buat satu penggal dan dilarang memasuki semua kawasan asrama di universiti tersebut. Beliau juga diarahkan supaya menghadiri sesi kaunseling mandatori, melakukan 30 jam kerja khidmat masyarakat dan menulis surat permohonan maaf.

Awal dari itu pada Selasa, polis menyatakan bahawa pesalah diberi amaran bersyarat 12 bulan kerana dia dinilai berkemungkinan tinggi untuk pulih dan mengesali perbuatannya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan