Images
  • speaker parliament
    Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin menyampaikan mesej kepada Dewan dari Presiden Halimah Yacob. 

Presiden Halimah 'sokong secara prinsip' guna rizab tampung pakej bantuan kedua COVID-19

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob sudah memberikan sokongan secara prinsip untuk Singapura menggunakan rizab lalu bagi membiayai pakej bantuan kedua dalam menangani pandemik COVID-19.

Dalam suratnya kepada Parlimen - yang disampaikan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin hari ini (26 Mac) - Presiden Halimah berkata beliau menyokong langkah itu selepas membuat pertimbangan teliti, sambil mengambil kira "keadaan serius dan prospek sangat tidak menentu".

Sejak rangka kerja perlindungan rizab negara diperkenalkan pada 1991, rizab-rizab yang terkumpul hanya digunakan sekali sahaja, iaitu semasa krisis kewangan global pada 2009, di mana ia digunakan untuk membiayai sebahagian daripada Pakej Berdaya Tahan pada ketika itu.

Mantan Presiden S R Nathan meluluskan usulan untuk mengeluarkan S$4.9 bilion untuk membiayai "dua langkah sementara dan penting", kata Presiden Halimah, sambil merujuk kepada dua skim yang disasarkan untuk membantu para pekerja kekal bekerja selain membantu syarikat-syarikat tempatan mendapatkan pinjaman.

"Selain membantu mengelak kemelesetan lebih teruk dan mencegah kesan kekal menjejas teruk ekonomi kita, penggunaan rizab menjadi contoh pentingnya mempunyai rangka kerja perlindungan rizab," katanya.

Beliau akur bahawa pada masa itu, Pemerintah juga memohon keizinan Encik Nathan untuk menggunakan rizab sebanyak S$150 bilion untuk menyokong Skim Jaminan Cengekeram, di mana semua deposit bank di Singapura boleh ditampung rizab-rizab sebelumnya.

Namun, jaminan itu tidak dikuatkuasakan dan rizab tidak dikeluarkan.

Bagaimanapun, ia disusuli dengan "gelombang berita buruk", dengan Eropah menjadi pusat penularan COVID-19 sementara jumlah kes di Amerika terus meningkat. Ini meskipun China - di mana tercetusnya wabak ini - mula stabil.

Negara-negara yang melindungi sempadan mereka dan menguatkuasakan perintah berkurung menghadapi kesan-kesan kemelesetan yang sangat teruk, dengan pasaran saham global merosot dengan mendadak.

"Kami berdepan dengan dua cabaran - krisis kesihatan awam pada peringkat global dan krisis ekonomi yang memburuk. Masalah ini kemungkinan lebih teruk dan berpanjangan berbanding waktu SARS dan krisis kewangan global 2009," kata Presiden Halimah.

Krisis ekonomi sekarang ini terlalu berbeza dengan kemelesetan biasa, katanya, sambil menambah bahawa syarikat-syarikat dan para pekerja jelas "sangat terjejas".

Presiden Halimah berkata beliau bersetuju dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong bahawa mesej harus disampaikan kepada Parlimen untuk menyatakan pandangannya terhadap usulan menggunakan rizab lalu.

"Khususnya, saya ingin berkongsi pendapat saya tentang mengapa menggunakan rizab adalah perlu, jika langkah-langkah ini akan berkesan dan sama ada proses Pemerintah berunding dengan saya adalah sesuatu yang wajar," tambahnya.

Beliau turut menegaskan pandangannya tidak bertujuan untuk mempengaruhi perbahasan Parlimen mengenai pakej bantuan.

"Saya menggesa anggota-anggota Dewan yang dihormati untuk membahaskan soal pakej ini secara terperinci dan membantu memperhalusi langkah-langkah yang diusulkan, kerana kita sememangnya sedang mencuba sedaya upaya untuk membantu Singapura dan rakyatnya," kata Presiden Halimah.

Beliau juga menyatakan bahawa tanggungjawab menjaga negara sebagai seorang presiden adalah "jelas" di bawah Perlembagaan.

"Saya memikul tanggungjawab dan perlu menggunakan kebijaksanaan untuk mempertahankan kelulusan yang diberikan kepada belanjawan dan perbelanjaan yang memerlukan rizab digunakan," katanya lagi.

"Persoalannya, adakah kini kita berdepan dengan keadaan luar biasa sehingga saya harus membenarkan rizab-rizab lalu digunakan?"

Walaupun 2019 mencatat perkembangan baik - dengan ekonomi global dijangka pulih selepas pertumbuhan lebih perlahan akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China - COVID-19 mengubah semua itu, katanya, dan menarik perhatian bahawa prestasi pada pertengahan Februari sudah "agak lembap".

"Apabila Pemerintah memberi taklimat kepada saya tentang Belanjawan 2020, kita membincangkan pilihan mengeluarkan rizab-rizab lalu jika keadaan memburuk, tetapi tidak melakukannya secara serta-merta kerana rizab sedia ada masih mencukupi bagi skala pakej yang dianggarkan ketika itu," kata Presiden Halimah.

"Misalnya, kadar tempahan hotel kini hanya 20 peratus. Kebanyakan syarikat penerbangan, termasuk SIA, menggantung penerbangan kerana begitu banyak pembatalan. Mereka yang bekerja dalam ekonomi 'kerja bebas' atau 'gig' juga tidak mendapat pekerjaan. Pengeluaran di kilang-kilang tergendala akibat gangguan bekalan, memburukkan lagi keadaan," jelasnya.

Maka itu Presiden Halimah berkata, Singapura perlu melakukan sesuatu secepat mungkin untuk membantu para peniaga dan rakyat kerana ia kini soal "penakatan Singapura".  

- CNA/AQ/aq

Top