Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah sokong rizab dikeluarkan lagi bagi pakej bantuan COVID-19

Presiden Halimah Yacob sudahpun memberi "sokongan secara prinsip" untuk menggunakan rizab negara bagi langkah-langkah terbaru membantu rakyat dan perniagaan mengharungi COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 May 2020 07:02PM Dikemas Kini : 25 May 2020 11:18PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob sudahpun memberi "sokongan secara prinsip" untuk menggunakan rizab negara bagi langkah-langkah terbaru membantu rakyat dan perniagaan mengharungi COVID-19.

Menulis di laman beliau Facebook pada Isnin (25 Mei), Presiden Halimah berkata keputusan itu dibuat setelah beliau yakin pakej sokongan terbaru diperlukan untuk "memastikan peralihan selamat kepada norma baru" di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan bahawa beliau bakal menyampaikan kenyataan menteri berhubung rancangan lanjut untuk membantu perniagaan dan orang ramai di tengah-tengah penularan COVID-19.

Pakej yang akan dibentangkan di Parlimen pada 3.30 petang esok, adalah yang keempat yang diumumkan Pemerintah untuk membantu para penduduk tempatan mengharungi pandemik itu.

"PERJUANGAN ATASI COVID-19 MASIH JAUH LAGI"

Pada Isnin, Presiden Halimah menulis bahawa meskipun masyarakat sudah mencatat kemajuan dalam mengawal penularan COVID-19, perjuangan mengatasi virus korona itu "masih jauh lagi".

Sedang peralihan keluar dari tempoh pemutus rantaian jangkitan berlaku secara bertahap-tahap dan ekonomi mengambil masa untuk pulih, masyarakat tidak boleh "mengambil sambil lewa" dan perlu terus menjadikan amalan seperti menjaga kebersihan "sebahagian hidup kita".

Sementara itu, tambah Presiden Halimah, Pemerintah berperanan untuk membantu perniagaan dan rakyat atasi cabaran dan selamatkan pekerjaan.

"DPM Heng Swee Keat dan pasukan Menteri datang memberi saya dan CPA (Majlis Penasihat Presiden) taklimat minggu lalu berhubung pakej sokongan keempat sebagai respons terhadap COVID-19. Ini adalah Belanjawan keempat dalam tempoh 2 bulan dalam tahun kewangan baru, dan adalah kali kedua rizab negara digunakan dalam respons Pemerintah terhadap COVID-19," tulis Presiden Halimah hari ini.

Hakikatnya, krisis yang sedang melanda tidak pernah berlaku dan keadaan masih kekal berubah-rubah, meletakkan risiko pada nyawa dan mata pencarian, tambah Presiden Halimah. Lantas, kata beliau, penting untuk Singapura "dibuka semula dengan selamat, maka itu kegiatan ekonomi akan kekal perlahan sedang kita menyambungnya semula".

"Setelah menimbangkan dan mengambil kira saranan CPA, saya yakin pakej sokongan keempat adalah perlu untuk memastikan peralihan selamat kepada normal baru buat Singapura. Saya maka itu memberikan sokongan secara dasar untuk langkah-langkah yang diusulkan itu menggunakan rizab lama Pemerintah," tulis Puan Halimah.

"Perjuangan menentang COVID-19 adalah perjuangan yang panjang. Namun saya yakin dengan ketabahan dan sokongan antara satu sama lain, kita akan muncul lebih kuat dalam dunia baru ini," kata Presiden Halimah mengakhiri catatannya.

Encik Heng yang juga Menteri Kewangan, sebelum ini mengumumkan langkah-langkah sokongan untuk membantu perniagaan, pekerja dan isi rumah mengharungi wabak COVID-19 semasa ucapan Belanjawan Perpaduan pada Februari, ucapan Belanjawan Berdaya Tahan pada Mac dan ucapan Belanjawan Kesepakatan pada April.

Langkah-langkah sokongan Pemerintah secara keseluruhannya bernilai hampir S$60 bilion, termasuk sehingga S$21 bilion yang diambil daripada rizab lalu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan