Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah: RSAF penyumbang utama kepada kemajuan Singapura

Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN), melindungi kedaulatan Singapura dan memberi kestabilan agar negara ini terus berkembang maju, menurut Presiden Halimah Yacob pada Rabu (7 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Feb 2018 06:25PM Dikemas Kini : 07 Feb 2018 09:37PM

SINGAPURA: Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN), melindungi kedaulatan Singapura dan memberi kestabilan agar negara ini terus berkembang maju, menurut Presiden Halimah Yacob pada Rabu (7 Feb).

"Status Singapura sebagai hab udara dan perdagangan yang aktif hari ini diasaskan dengan adanya keselamatan yang disediakan pasukan pertahanan yang kukuh," kata Puan Halimah di perasmian sambutan ulang tahun ke-50 RSAF (RSAF50).

"Bukan secara kebetulan Singapura membangun dengan pesat sejak beberapa puluh tahun lalu untuk menjadi metropolis moden ini."

Semasa berucap sempena sambutan Pertunjukan Udara Singapura, Puan Halimah juga memuji golongan Perintis yang memberi komitmen bagi membina angkatan bersenjata yang boleh dipercayai untuk melindungi laluan darat, laut dan udara Singapura semasa awal kemerdekaan. Ia bukanlah tugas yang mudah, memandangkan kami "kekurangan tenaga manusia, wang dan sumber," katanya.

"Bagi kes RSAF, cabaran besar ini adalah lebih meruncing," menurutnya.

Ini kerana Singapura kecil dari segi geografi, yang bermakna ancaman udara boleh tiba dalam jangka pendek, dan mungkin menyebabkan bahaya dan gangguan besar, jelas Puan Halimah.

"Bagi melindungi laluan udara kita, RSAF mesti memiliki keupayaan amaran awal dan kebolehan untuk memerangi sebarang ancaman dari udara, setiap masa, siang dan malam."

Usaha baik RSAF dalam melindungi laluan udara diteruskan hari ini, dengan bantuan pelbagai sistem dan peralatan teknologi maju, menurut Puan Halimah.

"Dalam masa 50 tahun, lelaki dan wanita RSAF ini sudah membantu Singapura maju dari hampir tidak mempunyai keupayaan pertahanan udara kepada menjadi pasukan udara kukuh yang boleh memberi respons pantas dan dengan penuh keyakinan terhadap seluruh spektrum ancaman," katanya.

Sambil mengimbas kembali beberapa kejadian di mana RSAF menunjukkan sikap profesional - seperti pemindahan rakyat Singapura dari Kemboja pada tahun 1997, sokongan keamanan di Timor Leste dan operasi bantuan Taufan Harvey - Puan Halimah berkata beliau berasa bangga dengan apa yang sudah dikecapi angkatan udara.

"Saya berasa sangat bangga, sebagai seorang rakyat Singapura, mengetahui Angkatan Udara kita sudah membawa perubahan, bukan sahaja di Singapura tetapi juga di pelbagai bahagian di dunia," menurutnya.

Di acara tersebut, Puan Halimah juga mendedahkan F-15SG yang dicat khas dan menyumbang sebuah gambar bagi mural atau lukisan tembok peringatan sebanyak 50,000 keping gambar. Sepanjang tahun ini, orang ramai juga dipelawa menyumbang gambar mereka bagi kempen tersebut.

Sambutan ulang tahun RSAF50 diteruskan di kawasan kejiranan dari bulan Mac hingga bulan Mei, sedang angkatan udara membawa peralatannya ke Sembawang, Bedok dan Punggol, Toa Payoh dan Jurong East.

Sumber : CNA/IM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan