Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah puji langkah proaktif RRG banteras fahaman radikal

Satu lawatan ke Indonesia dianjurkan baru-baru ini bagi memahami dengan lebih mendalam bagaimana anak-anak muda boleh dicegah daripada terpengaruh dengan ideologi-ideologi kumpulan militan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu lawatan ke Indonesia dianjurkan baru-baru ini bagi memahami dengan lebih mendalam bagaimana anak-anak muda boleh dicegah daripada terpengaruh dengan ideologi-ideologi kumpulan militan.

Langkah ini menjadi pendekatan terbaru Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) bagi memperhebatkan usaha membanteras fahaman pelampau.

Inisiatif terbaru itu seiring dengan ucapan Presiden Halimah Yacob yang menekankan bahawa banyak lagi yang boleh dilakukan untuk mengekang ideologi-ideologi ekstrim daripada bertapak di Singapura.

(Gambar: RRG) 

Lawatan ke Indonesia. (Gambar-gambar: RRG)

Beliau berkata demikian dalam lawatan beliau ke Pusat Sumber dan Kaunseling RRG di Masjid Khadijah petang tadi (26 Feb).

USAHA BERTERUSAN RRG BANTERAS FAHAMAN RADIKAL

Semasa menyampaikan ucapannya, Presiden Halimah turut memuji inisiatif-inisiatif yang sudah dijalankan oleh RRG bagi membanteras fahaman radikal.

Ini termasuk memanfaatkan wadah-wadah media sosial seperti aplikasi mudah alih RRG serta Program Kesedaran Belia (APY), yang menyediakan pengetahuan agama yang sebenar kepada para belia.

Pusat Sumber dan Kaunseling RRG itu juga dinaik taraf pada bulan lalu dengan lebih banyak maklumat dan perkembangan terkini daripada inisiatif-inisiatif baru RRG turut dipamerkan.

Meskipun demikian, Presiden Halimah menekankan bahawa masyarakat tidak harus mudah berpuas hati. Ini kerana ancaman pengganasan daripada individu-individu yang menjadi radikal masih berleluasa.

Puan Halimah di Pusat Sumber dan Kaunseling RRG. 

Beliau menambah, dua kes terbaru - guru agama dan salah seorang pengikutnya - yang dikenakan Perintah Sekatan menjadi satu lagi peringatan kepada masyarakat dan Singapura amnya, tentang bahaya ajaran-ajaran dan ideologi tegar.

"Untuk memenangi usaha memerangi ekstremisme, ia memerlukan lebih daripada sekadar membanteras fahaman radikal. Kita juga perlu mengambil pendekatan lebih luas bagi mempererat ikatan kemasyarakatan, dengan memupuk sikap saling memahami dan hormat menghormati" kata Puan Halimah.

Lantaran itu, RRG terus mempertingkat usaha membanteras pengganasan dan proses pemulihan tahanan.

Naib Pengerusi RRG Dr Mohamed Ali turut berkongsi maklumat-maklumat terkini tentang usaha-usaha yang sudah dijalankan oleh pertubuhan itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan