Images
  • joko widodo
    Joko Widodo pada Selasa (21 Mei) diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019 bulan lalu. (Gambar: Dita Alangkara/AP)

Presiden Halimah, PM Lee ucap tahniah kepada Presiden Jokowi

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Joko Widodo pada Selasa (21 Mei) yang diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019 bulan lalu.

Encik Widodo sah memenangi pilihan raya presiden Indonesia, yang berlangsung pada 17 April lalu, setelah kiraan undi rasmi hari ini menunjukkan beliau meraih lebih 85 juta undi daripada 154 juta undi yang dilakukan. Dengan jumlah undian itu, Encik Widodo memperoleh 55.5 peratus undi.

Dalam suratnya, Encik Lee melahirkan sekalung tahniah kepada Encik Widodo atas kemenangannya untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia bagi penggal kedua jawatan Presiden Indonesia.

"Mandat kuat yang anda terima mencerminkan kepercayaan yang ditunjukkan rakyat Indonesia terhadap kepimpinan anda dan wawasan anda untuk meningkatkan kehidupan warga Indonesia," tulis PM Lee.

Encik Lee berkata hubungan Singapura-Indonesia mencapai kemajuan yang ketara semasa penggal pertama Encik Widodo.

"Kita bekerjasama rapat dalam banyak bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, peningkatan kemahiran, pelancongan serta pertahanan dan keselamatan.
Hubungan kita berada dalam keadaan yang sangat baik.

"Saya mengalu-alukan kerjasama rapat dengan anda untuk membina apa yang telah kita capai dan untuk meneroka peluang kerjasama baru demi kebaikan rakyat kita bersama," kata PM Lee lagi.

Beliau turut berharap dapat bertemu dengan Encik Widodo semasa Sidang Puncak ASEAN di Bangkok bulan depan.

MASA DEPAN LEBIH CERAH BUAT INDONESIA

Puan Halimah juga mengutuskan ucap tahniah kepada Encik Widodo pada Selasa sambil menyatakan bahawa kemenangan beliau yang meyakinkan itu adalah "bukti kepercayaan dan keyakinan rakyat Indonesia terhadap kepimpinannya".

"Saya yakin bahawa anda akan membina asas yang kukuh daripada penggal pertama anda untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik buat semua rakyat Indonesia," tulis Puan Halimah dalam surat ucapan tahniahnya itu.

Puan Halimah turut menarik perhatian hubungan baik antara Singapura dengan Indonesia.

"Singapura dan Indonesia mempunyai hubungan amat baik yang dibina atas saling hormat menghormati dan kerjasama.Hubungan sesama rakyat kita semakin mendalam dan berkembang.

"Saya yakin hubungan antara kedua-dua negara akan terus kukuh pada tahun-tahun yang akan datang," kata Puan Halimah.

Encik Widodo, yang juga dikenali sebagai Jokowi, mengisytiharkan kemenangannya mengatasi pencabar beliau Prabowo Subianto, selepas keputusan tidak rasmi diumumkan bulan lalu. Encik Prabowo, seorang jeneral bersara, berikrar untuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

- CNA/FZ/fz

Top