Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah nasihat umat Islam jangan lepas peluang dapatkan vaksin meski puasa

Masyarakat Islam di Singapura dijangka mula berpuasa esok, mengikut takwin Islam tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah nasihat umat Islam jangan lepas peluang dapatkan vaksin meski puasa

Masjid Sultan. (Gambar: MCI/Betty Chua)

Diterbitkan : 12 Apr 2021 03:52PM Dikemas Kini : 12 Apr 2021 07:53PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob mengucapkan selamat berpuasa kepada masyarakat Islam dan dan menasihatkan agar jangan melepaskan peluang untuk mendapatkan vaksinasi apabila ditawarkan meskipun dalam bulan Ramadan.

Masyarakat Islam di Singapura dijangka mula berpuasa esok, mengikut takwin Islam tempatan.

"Kepada semua orang Muslim, saya ucapakan kepada anda Ramadan yang selamat, berkat dan bahagia. Selamat Berpuasa," tulis Presiden Halimah menerusi catatan Facebook hari ini (12 Apr) menjelang hari pertama Ramadan esok (13 Apr).

"Saya berharap masyarakat Islam tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan vaksinasi dalam bulan mendatang kerana khuatir ia akan membatalkan puasa mereka," tambah beliau lagi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bulan lalu, bahawa suntikan vaksin tidak membatalkan puasa.

"Oleh kerana MUIS sudah memberi penjelasan, bahawa vaksinasi dan ujian swab menerusi hidung tidak akan membatalkan puasa kita, saya sangat menggalakkan semua orang Muslim supaya mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin apabila tiba giliran mereka," tambah Presiden Halimah.

Presiden Halimah juga akur bahawa bulan puasa tahun ini tidak seperti bulan Ramadan sebelum tahun 2020.

"Kita perlu menyedari bahawa pandemik COVID-19 belum berlalu dan malah ia terus menular di negara-negara lain. Namun syukur, kita boleh menjalankan beberapa kegiatan yang biasa kita lakukan dalam had tertentu, seperti khidmat ibadah di masjid dalam jumlah yang terhad.

"Kegiatan-kegiatan lain, seperti program-program di masjid dan membayar zakat boleh dilakukan online," kata Presiden Halimah.

Menurut beliau lagi menerusi catatannya itu, bulan Ramadan adalah "bulan istimewa untuk umat Islam, masa untuk bermuhasabah, memperbaiki diri, melakukan amal kebajikan dan memohon kemaafan".

"Perbuatan tidak makan dan minum dari terbit matahari hingga terbenam matahari bukan setakat amalan ibadah; ia juga cara untuk kita lebih bersikap belas ihsan kepada orang-orang yang memerlukan, rendah hati, belajar bersabar dan melepaskan tabiat-tabiat buruk," tambah beliau.

Presiden Halimah juga menggalak masyarakat Islam supaya merebut pulang dalam bulan suci ini untuk meluangkan masa bersama keluarga di rumah dan mempererat hubungan dengan orang-orang tersayang.

"Jika kita semua komited dan memainkan peranan dalam memerangi virus ini, mungkin kita akan dapat menyambung semula lebih banyak kegiatan dalam bulan Ramadan akan datang," menurut Presiden Halimah lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan