Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah, Mufti Negara gesa sikap merendahkan wanita dihapuskan dalam masyarakat

Kaum wanita bukanlah objek untuk dijadikan bahan jenaka, diejek dan diinjak, dan tiada sesiapa mempunyai hak untuk berbuat demikian kepada mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah, Mufti Negara gesa sikap merendahkan wanita dihapuskan dalam masyarakat

Presiden Halimah Yacob dan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir (Gambar fail)

SINGAPURA: Kaum wanita bukanlah objek untuk dijadikan bahan jenaka, diejek dan diinjak, dan tiada sesiapa mempunyai hak untuk berbuat demikian kepada mereka.

Demikian tegas Presiden Halimah Yacob dalam catatan Facebooknya pada Isnin (15 Jun), sebagai merujuk kepada saluran podcast OKLETSGO.

Kenyataan beliau itu dibuat menyusuli perbincangan hangat di wadah media sosial tentang komen-komen yang dianggap tidak sensitif di saluran podcast tersebut, terutama terhadap golongan wanita.

Menurut Puan Halimah, beliau menerima banyak kiriman e-mel daripada mereka yang amat prihatin dan bimbang akan nilai-nilai yang disebarkan dalam kalangan golongan muda.

"Kaum wanita berhak untuk dihormati, dihargai atas sumbangan mereka kepada keluarga dan masyarakat kita.

"Ungkapan murahan terhadap kaum wanita untuk menaikkan 'rating' atau untuk membuat para pendengar tertawa tidak kira betapa ia menyakitkan hati, adalah tidak wajar atas nama apa pun baik kebebasan bersuara atau menggalak perbincangan.

"Bagaimana anda ingin menggalakkan perbincangan yang sihat mengenai peranan wanita dan keluarga, apabila anda bermula dengan merendahkan martabat kaum wanita," tegas Puan Halimah.

Beliau mengambil perhatian situasi COVID-19 yang mencengkam seluruh dunia sekarang ini menyaksikan kes-kes keganasan terhadap golongan wanita menjadi semakin buruk.

"Jika kita terus mengekalkan imej wanita sebagai berkedudukan lebih rendah, hanya wujud bagi tujuan kepuasan seksual lelaki, maka kita harus dipertanggungjawabkan terhadap keganasan kepada wanita," kata Puan Halimah.

PRESIDEN HALIMAH GESA OKLETSGO MINTA MAAF

Justeru, Puan Halimah menggesa agar saluran podcast OKLETSGO memohon maaf kepada semua kaum wanita.

"OkLetsGo patut secara ikhlas dan dengan rendah hati meminta maaf kepada semua wanita atas komen-komen yang menyinggung perasaan, memalukan dan misoginistik terhadap wanita dalam podcast mereka mengenai golongan wanita," katanya

Menurut Puan Halimah, pendidikan tentang rasa hormat terhadap wanita adalah satu proses sepanjang hidup dan harus bermula sejak usia kecil lagi.

Namun, tanggungjawab untuk membentuk pemikiran anak muda agar mempunyai hubungan yang sihat dan penuh hormat terhadap kaum wanita bukan sahaja terletak pada keluarga, malah ia adalah tanggungjawab setiap orang dan terutama sekali mereka yang mempunyai pengaruh besar di media sosial, kata Puan Halimah.

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir turut menyuarakan pandangan serupa dalam catatan Instagramnya pada Isnin (15 Jun).

Menurut Dr Nazirudin, perbincangan mengenai isu-isu sosial amat berguna dan harus digalakkan. Namun, katanya, apa yang dikatakan dan dilakukan di wadah-wadah sedemikian akan mengukuhkan dan membentuk sikap mereka yang mendengar dan menjadikannya sebagai teladan.

"Oleh itu kita harus memanfaatkan pengaruh demikian untuk menghasilkan perubahan positif, bukan menggalakkan sikap dan kelakuan seksis yang membelenggu masyarakat buat sekian lama.

"Jangan hanya menjadi cermin untuk menggambarkan tanggapan kita mengenai masyarakat. Tinggalkan misogini ini supaya kita boleh menjadi lebih baik," tulis Dr Nazirudin sebagai mengakhiri catatan Instagramnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan