Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah gesa lebih banyak syarikat tawarkan Cuti Bapa bergaji

Presiden Halimah Yacob menggesa agar lebih banyak syarikat tempatan menawarkan Cuti Bapa bergaji sehingga sebulan bagi golongan bapa yang bekerja. Ini berbanding Cuti Bapa sepanjang 2 minggu sekarang ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob menggesa agar lebih banyak syarikat tempatan menawarkan Cuti Bapa bergaji sehingga sebulan bagi golongan bapa yang bekerja.

Ini berbanding Cuti Bapa sepanjang 2 minggu sekarang ini.

Beliau berucap demikian semasa acara penyampaian anugerah bapa contoh, atau Anugerah Qudwah Hasanah, pada Ahad (14 Julai) di Hotel Orchard.

ANJAKAN BUDAYA DIPERLUKAN; GALAK PARA BAPA GUNAKAN CUTI BAPA

Menurut Puan Halimah, 53 peratus bapa mengambil Cuti Bapa untuk menjaga bayi mereka yang baru lahir dan menyokong isteri mereka.

Namun kadarnya jauh lebih tinggi di negara-negara Nordik, di mana 70-80 peratus bapa berbuat demikian.

"Golongan bapa di Singapura mungkin enggan mengambil Cuti Bapa lebih lama kerana kerana bimbang rakan sekerja dan penyelia mereka akan memandangkan negatif perbuatan sedemikian. Atau kerana berbuat demikian (mengambil Cuti Bapa) mungkin menjejas kemajuan pekerjaan dan kerjaya mereka," jelas Puan Halimah.

Di sinilah, Puan Halimah menggesa agar satu anjakan budaya dilakukan, demi menggalak para bapa menggunakan Cuti Bapa.

Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD), kata beliau, sedang mengumpulkan pandangan dan cadangan mengenai isu-isu perkahwinan dan keibubapaan.

Lantaran itu, Presiden Halimah mengajak rakyat tempatan supaya mengambil peluang itu dan berkongsi pandangan tentang bagaimana Pemerintah dan masyarakat boleh menyokong bapa dan ibu yang bekerja agar dapat mengimbangi tanggungjawab keibubapaan dan pekerjaan dengan lebih baik lagi.

USTAZ MANAF RAHMAT JULANG ANUGERAH QUDWAH HASANAH 2019

Beliau turut memuji pelbagai usaha dan pengorbanan yang dipamerkan para bapa, khususnya para finalis Anugerah Qudwah Hasanah 2019.

Daripada sejumlah 24 pencalonan, Ustaz Abdul Manaf Rahmat terpilih sebagai pemenangnya.

Meskipun penat bertugas pada waktu siang, bekas mudir madrasah ini pernah terpaksa bekerja lembur demi menyara isteri dan tiga orang puterinya.

Beliau pernah mendapat tentangan beberapa pihak yang mempertikaikan pilihannya menghantar anak-anaknya sendiri ke sekolah nasional kerana percaya bahawa ilmu duniawi dan ukhrawi tidak boleh di beza-bezakan.

Teguh pada pegangannya, ketiga-tiga anaknya berjaya memegang ijazah dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Perjuangan beliau diiktiraf dan dipilih sebagai pemenang Piala Pusingan Qudwah Hasanah Presiden Halimah Yacob 2019, anjuran Persatuan Ain buat tahun ke-lapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, kemenangan Ustaz Manaf satu pilihan yang dibuat secara sebulat suara.

"Para juri sebulat suara kerana melihatkan cara komunikasi yang terbuka antara beliau dengan keluarga beliau dan anak-anak beliau dan juga sumbangan kemasyarakatan beliau turut lebih sedikit daripada kedua calon finalis yang lain," jelas Encik Yusof.

Berkongsi kata-kata perangsang kepada golongan bapa yang lain, Ustaz Manaf berpesan: "Berikanlah yang terbaik kepada anak-anak dari segi masa, kewangan, apa sahaja, dan Insya-Allah dengan kita memberikan yang terbaik, ia akan menghasilkan yang terbaik."

Ustaz Manaf membawa pulang hadiah wang tunai $5,000, sementara para finalis lain pula menerima wang tunai $500 setiap seorang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan