Images
  • istana (1)
    Istana. (Gambar: Laman Istana)

Presiden Halimah akan lancarkan wang kertas Dwiabad Singapura di rumah terbuka Istana

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob akan melancarkan wang nota kenangan Dwiabad Singapura di rumah terbuka Istana pada Hari Raya Puasa Rabu depan (5 Jun).

Dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), wang kertas itu memaparkan "perjalanan menuju kenegaraan dan memberi penghormatan kepada generasi terdahulu yang membangunkan asas Singapura moden", menurut satu kenyataan media oleh Pejabat Presiden.

Awal tahun ini, Singapore Mint juga melancarkan pelbagai cenderamata bertemakan Dwiabad, termasuk medalion dan replika wang kertas.

Singapura meraikan dwiabad tahun ini menerusi pelbagai acara dan projek yang memperingati 200 tahun sejak ketibaan Sir Stamford Raffles di Singapura.

Oleh itu, Pejabat Presiden juga bekerjasama dengan Pejabat Dwiabad Singapura bagi satu pameran yang menampilkan sejarah Singapura selama 700 tahun di Rumah Terbuka Istana.

Sejajar dengan tema Dwiabad, rumah terbuka Hari Raya Puasa akan turut menampilkan masyarakat yang sudah menyumbang kepada negara bertahun-tahun lamanya, menurut kenyataan media.

Kawasan Istana akan dibuka kepada awam Rabu depan antara jam 8.30 pagi dengan 6.00 petang.

Masuk adalah percuma bagi rakyat dan penduduk tetap Singapura. Semua pengunjung lain perlu membayar bayaran masuk sebanyak S$2 seorang.

Bayaran lain dikenakan bagi lawatan ke bilik negara, dewan jamuan dan bilik menyambut tetamu di bangunan utama Istana.

- CNA/NA/na

Top